LONDON: Bekas bintang Manchester United Ryan Giggs simpati dengan bekas rakan sepasukannya Ole Gunnar Solskjaer dan menggesa pengendali United itu menjual pemain tengah Paul Pogba.
“Saya simpati dengan Ole kerana dia terpaksa menjawab soalan berkenaan Paul Pogba dari hari ke hari,” kata Giggs.
“Saya rasa United berada dalam prestasi terbaik sekarang dan ia berlaku tanpa kehadirannya (Pogba). Dia kembali dan bermain beberapa perlawanan tetapi ia mengecewakan buat masa sekarang.
“Dia berbakat, kami sentiasa bercakap mengenainya, tetapi dia tidak melakukannya secara konsisten bersama United. Ole perlu memberi tumpuan kepada pemain yang cergas saja ketika ini.”
Menurut Giggs, Pogba perlu membuktikan bakatnya dengan aksi di atas padang.
“Itulah cara saya dibesarkan. Anda perlu membuktikannya di atas padang. Sekarang kita di era berbeza, media sosial menguasai semua perkara sekarang.
“Tetapi ia mengecewakan kerana dia mempunyai kualiti. Seperti saya katakan, ia tidak konsisten untuk United sejak dia tiba, sejak dia kembali. Adakah dia gembira? Saya tidak tahu.
“Adakah dia mahu berada di tempat lain? Saya tidak tahu,” katanya. – AGENSI