PKR Pahang pula tampil nyatakan sokongan buat Anwar

PKR Pahang menjadi kumpulan terbaru menyatakan sokongan kepada presiden parti, Anwar Ibrahim.

Siri penyataan sokongan itu hadir ketika pemimpin PKR dilihat berdepan perpecahan dalaman susulan isu klip video seks yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Dalam kenyataan media yang diketuai Pengerusi PKR Pahang Fuziah Salleh hari ini, 10 daripada 14 Cabang PKR negeri itu menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar dalam menerajui parti.

Cabang PKR yang tidak menandatangani penyataan sokongan itu ialah Cabang Bera, Pekan, Bentong dan Paya Besar.Iklan

PKR Pahang merupakan pimpinan negeri keempat selepas Pulau Pianang, Perak dan Johor menyatakan sokongan terhadap Anwar.

Di Pulau Pinang, yang merupakan kampung halaman Anwar, 12 daripada 13 cabang menyatakan sokongan kepada presiden parti.

Sementara di Perak, 22 daripada 24 cabang dan di Johor 16 daripada 23 ketua cabang menyokong Anwar.

Seseorang ketua Cabang PKR memegang jawatan selepas memenangi pemilihan parti.

Ikrar sokongan yang ditandatangani empat PKR negeri itu mempunyai kandungan sama yang ditandatangani 22 pemimpin PKR ketika pemukiman parti itu di Port Dickson hujung minggu lalu.

Ketika pemukiman, pemimpin PKR juga menyatakan sokongan terhadap resolusi berkenaan bagi memulihkan perpecahan dalaman parti.

Sejak minggu lalu, masing-masing penyokong Anwar dan Azmin tampil menyatakan sokongan mereka.

Penyataan sokongan itu dilihat dimulakan oleh penyokong Azmin pada 18 Julai lalu melalui kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh sekumpulan ahli parlimen PKR dan ahli majlis pimpinan pusat (MPP).

Mereka menggesa Anwar berhenti membuat kenyataan yang disifatkan boleh memecahkan parti, sebagai merujuk cadangan ahli parlimen Port Dickson itu agar Azmin meletakkan jawatan sekiranya klip video seks yang menjadi pertikaian itu tulen.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan ketulenan video berkenaan, namun menambah bahawa hasil pengecaman wajah dalam video dan individu yang dikaitkan adalah “negatif”.

Hamid juga mendedahkan bahawa seorang pemimpin politik mendalangi pengedaran klip video itu dan pihak yang terlibat menghasilkan klip video berkenaan membelanjakan ratusan ribu ringgit.

Azmin, yang juga merupakan menteri hal ehwal ekonomi, mendakwa klip video berkenaan merupakan kerja orang dalam partinya yang mahu memusnahkan kerjaya politiknya.

Sebelum ini, timbul spekulasi yang mengatakan isu klip video berkenaan mempunyai kaitan dengan persaingan jawatan perdana menteri, susulan dakwaan yang mengatakan Dr Mahathir Mohamad lebih cenderung memilih Azmin menggantikannya, meskipun sudah berjanji kepada Anwar.

Setiausaha politik Anwar merupakan antara yang ditahan berhubung siasatan kes klip video berkenaan. Anwar bagaimanapun menafikan sebarang penglibatan.

  • malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *