Siti Safiyah, Tun Hakim juara Terbuka Malaysia

PETALING JAYA: Pemain boling elit negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman mengakhiri penantian selama 10 tahun untuk merampas semula kejuaraan terbuka wanita buat kali kedua pada Kejohanan Antarabangsa Terbuka Malaysia ke-43 di sini, malam tadi.

Selepas meraih gelaran sulung pada tahun 2009, pemain berusia 29 tahun itu mengulangi kejayaan terbabit apabila mengalahkan rakannya sepasukan di kem kebangsaan, Natasha Roslan 200-182 pada final step-ladder di Mega Lanes, Sunway Pyramid, Bandar Sunday dekat sini.

“Final ini agak mencabar kerana Natasha mempamerkan aksi yang baik, tetapi dengan bantuan latihan persediaan yang sukar ke Kejohanan Dunia, saya dapat mengatasinya,” katanya yang akan mempertahankan gelaran juara berpasukan wanita pada Kejohanan Dunia di Las Vegas, Amerika Syarikat dari 22 hingga 30 Ogos ini.

Sementara itu, pemain elit negara, Tun Hakim Tun Hasnul Azman merangkul kejuaraan sulung selepas menewaskan Ahmad Muaz Fishol 258-194 pada final step-ladder.

Pada saingan separuh akhir step-ladder, Tun Hakim mengalahkan pemain Kedah, Wan Muhammad Naqib 180-169.

Pada pusingan pertama Ahmad Muaz mendahului saingan dengan mengumpul 1,839 jatuhan pin, diikuti Wan Muhammad Naqib (1,828) dan tempat ketiga oleh Tun Hakim dengan 1,810 jatuhan pin.

Bagaimanapun, juara bertahan, Rafiq Ismail gagal ke saingan step-ladder selepas menduduki tangga keempat pada pusingan pertama dengan 1,792 jatuhan pin. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *