LONDON: Manchester City secara senyap melakukan tugasan mereka pada penamat musim dengan menyedari mereka tidak perlu perubahan radikal selepas mencipta 198 mata dalam Liga Perdana pada dua kempen terakhir.
Pasukan juara bertahan itu hanya mencicirkan 30 mata dalam tempoh berkenaan dan mengekalkan dominasi domestik mereka, diberi tekanan sepanjang musim lalu oleh Liverpool tetapi bertahan untuk menang hanya satu mata di penghujung saingan.
Secara asasnya ia tampak sama – adalah sukar untuk melihat pasukan lain selain Liverpool untuk menghalang City daripada menjadi pasukan pertama menang tiga gelaran berturut-turut Liga Perdana sejak Manchester United dari 2006/07 hingga 2008/09.
Ada beberapa kelemahan dalam skuad seimbang City, yang menggabungkan pasukan bergelar juara dan bakat yang hebat.
Pemergian paling ketara dari Etihad ialah pertahanan Belgium, Vincent Kompany yang berhijrah ke Anderlecht selepas 11 tahun berkhidmat, membawa bersamanya tahap kepimpinan berharga.
Pemain tengah bertahan, Rodri, 23, menyertai City dari Atletico Madrid dengan rekod kelab dan Pep Guardiola juga kembali mendapat khidmat Kevin De Bruyne, yang menghabiskan sebahagian besar musim lalu mengalami kecederaan.
Soalan ditanya pada permulaan musim lalu ialah ‘apa anda mahu selepas menang Liga Perdana dengan 100 mata’?
Guardiola menjawab dengan menang trebel gelaran domestik buat pertama kali dalam sejarah bola sepak England.
City boleh menukar fokus untuk menang Liga Juara-Juara buat pertama kali dan pengurus itu mungkin menyedari bahawa kekalahan tipis pada suku akhir kepada naib juara, Tottenham sebagai bukti bahawa pasukannya tidak jauh daripada meraih kejayaan di Eropah.
Guardiola dengan skuadnya menewaskan Liverpool menerusi penalti dalam Perisai Kemasyarakatan Ahad lalu dalam saingan pembuka tirai musim, sudah menjangka skuad kendalian Jurgen Klopp akan sekali lagi menjadi pencabar utama.
“Ada dua pencabar sebenar, Liverpool dan kami, untuk menang Liga Perdana. (Manchester) United dengan (Harry) Maguire dan pemain lain dibeli mereka, Arsenal, Chelsea dan Tottenham juga boleh berada di sana,” katanya. – AFP