Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya terpaksa tampil mengingatkan menteri-menterinya sendiri, bahawa kerajaan bukan alat kempen dan peruntukan awam bukan umpan pilihan raya.
Amaran keras ini tercetus selepas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, tanpa segan silu mengumumkan peruntukan RM6.13 juta bagi 33 projek pembangunan di Tapah, hanya beberapa hari sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.
Anwar cuba meredakan api dengan alasan pengumuman dibuat sebelum hari penamaan calon, namun mesejnya jelas: sebarang pengumuman selepas tarikh rasmi kempen akan dikenakan tindakan. Ironinya, tindakan Nga ini sudah cukup untuk mencetuskan persepsi bahawa kerajaan ini mungkin tidak setulus yang dijanjikan.
Lebih parah, justifikasi Nga bahawa peruntukan ini adalah yang “terbesar dalam sejarah” di bawah Program Sentuhan Kasih 3.0, hanya menambah curiga.
Apa sebenarnya yang cuba disampaikan? Mesej kasih sayang, atau isyarat bahawa kerajaan sanggup membeli sokongan dengan wang rakyat?
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) tidak menunggu lama. Mereka mengecam keras tindakan itu sebagai penyalahgunaan kuasa yang terang-terangan. Bagi BERSIH, ini bukan soal masa pengumuman, sebaliknya ini soal prinsip. Bila menteri guna dana kerajaan untuk ‘menabur kasih’ di kawasan panas pilihan raya, itu bukan kebajikan, itu kempen berselindung.
Dan sekarang, bola ada di kaki Anwar. Beliau boleh terus memberi amaran, atau mula bertindak tegas ke atas menteri-menterinya sendiri.
Rakyat sedang menilai, adakah reformasi ini hanya kulit luar? Atau adakah kerajaan benar-benar bersedia mencabut akar budaya politik lama yang busuk, yang menggunakan jentera dan dana awam demi kelangsungan kuasa?
Jika tindakan susulan tidak menyusul, maka mesej sebenar yang sampai kepada rakyat sangat jelas: kerajaan masih bermain permainan lama, cuma dengan wajah baharu.
Sumber: Media Telus