Hutang RM4.65 Juta: Fazura Pernah Bayar Guna Cek Tendang

Pembekal tudung, Obor Holding turut mendakwa telah menerima cek tendang RM1 juta yang ditandatangani Fazura dan abangnya itu.

Tak dinafikan, tudung antara pakaian yang banyak mendapat permintaan di Malaysia. Oleh sebab itu, tidak hairanlah industri hijab semakin berkembang pesat dengan kemunculan usahawan tudung dalam pasaran bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Namun siapa sangka, di sebalik kerancakan industri ini ada kilang pembekal tudung yang mendakwa sedang berdepan dengan masalah kewangan. 

Lebih mengejutkan syarikat pengilang tudung terbabit iaitu Feline Malaysia mendakwa, semua itu berlaku gara-gara syarikat milik pelakon dan usahawan wanita popular, Nur Fazura Sharifuddin berhutang hampir RM4.65 juta.

Pengilang dakwa syarikat ‘Tudung Fazura’ hutang RM4.65j

Menerusi dokumen pernyataan tuntutan (statement of claim) yang BuzzKini lihat, Obor Holding Sdn Bhd selaku pemilik kilang Feline Malaysia mendakwa syarikat Pink Fate Sdn Bhd yang diketahui umum sinonim dengan Fazura selaku pengasas bersama (co-founder) telah dibekalkan tudung dengan nilai RM7,330,197.04  sejak Jun 2022.

Namun Pink Fate hanya membayar RM2,680,167.90 dari jumlah tersebut sekaligus masih berhutang sebanyak RM4.65 juta kepada pihak Feline.

Obor Holding turut mendakwa pihaknya mula berdepan kesukaran untuk mengutip bayaran sejak Disember 2023.

Selain Pink Fate sebagai defendan pertama, dokumen berkenaan turut menamakan syarikat Fazfit Sdn Bhd sebagai defendan kedua; abang Fazura, Ahmad Faiz Sharifuddin (defendan ketiga); dan Nur Fazura sebagai defendan keempat.

Dalam dokumen sama, Obor Holding turut mendakwa hutang sebanyak RM4.65 juta tersebut adalah termasuk lima pesanan tambahan yang dilakukan pada Jun dan September 2024 berjumlah RM3.6 juta meskipun ‘Tudung Fazura’ belum menjelaskan tunggakan sedia ada pada waktu itu. 

Tambah dokumen itu lagi, Faiz turut memberi keyakinan kepada Feline bahawa pesanan tambahan tersebut ditempah oleh Kementerian Pendidikan untuk inisiatif Koleksi Merdeka.

Menerusi semakan kami, program tersebut telah berlangsung pada Julai 2024 dan ianya adalah satu kolaborasi antara KPM dan Tudung Fazura sebagai salah satu program istimewa dalam memeriahkan sambutan ulangtahun kemerdekaan ke-67.

Dakwa kenyataan itu lagi, bagi meyakinkan status keupayaan kewangan syarikat, Faiz bersama Fazura turut menjelaskan bahawa mereka sedang menerima bayaran daripada kerajaan bagi projek-projek terdahulu selain kerjasama yang kukuh dengan rakan kongsi yang bereputasi tinggi antaranya Boh Plantations Sdn Bhd (BOH), Hotel Movenpick dan Institut Kanser Negara (IKN).

Tambah Obor Holding, ketika tambahan pesanan itu dibuat, selebriti berkenaan bersama abangnya itu jelas mengetahui atau sepatutnya tahu yang pihaknya bergantung pada “representasi” selain “terdorong untuk meneruskan pengeluaran pesanan tersebut, dengan jangkaan yang sah bahawa bayaran akan diterima bagi jumlah pesanan yang dibuat” oleh pihak tudung Fazura.

Dakwanya lagi, kerana yakin dengan jaminan yang diberikan, pihak pengilang kemudiannya menyiapkan pesanan tambahan berkenaan dan kali ini ianya diserahkan kepada syarikat Fazfit Sdn Bhd, yang dikenali umum sebagai pengeluar barangan penjagaan diri, Fazura Skincare.

Namun usaha mereka seolah sia-sia apabila tiada sebarang pembayaran yang diterima dari mana-mana pihak.

“Jumlah yang tertunggak telah disatukan dengan baki tertunggak sedia ada menjadikan jumlah tunggakan keseluruhan sebanyak RM4,650,029.14,” tulis kenyataan itu.

Tambah pernyataan itu lagi, meskipun Faiz kemudiannya ada menyerahkan cek yang ditandatanganinya bersama Fazura berjumlah RM1 juta pada 3 September 2024, namun pihak Obor Holding gagal “mencairkannya” di bank (cek tendang) sebaliknya menerima notis Return Cheque Advice.

Jelas Obor Holding lagi, semua transaksi ini dilakukan ketika Fazura masih lagi bergelar pengarah sebelum selebriti terkenal itu melepaskan jawatan sebagai pengarah Pink Fate  pada Januari 2025. Pun begitu, Faiz masih lagi kekal sebagai pengarah syarikat itu.

Obor Holding ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang dalam proses memfailkan Penghakiman Ingkar (Judgement In Default) kepada Pink Fate memandangkan tempoh memberikan maklum balas yang diberikan sudah tamat.

Sumber: Buzzkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *