Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli meletus marah selepas surat sulit yang dihantarnya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung parti dibocorkan – sekali lagi.
Surat tersebut menyatakan keputusannya untuk tidak merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita, namun apa yang sepatutnya menjadi dokumen peribadi kini dijadikan bahan mainan puak-puak dalam parti sendiri.
“Aku hanya hantar pada dua orang – Presiden dan Setiausaha Agung. Tapi macam mana boleh bocor? Ini bukti ada tangan-tangan kotor dalam parti yang langgar disiplin dan tiada etika,” katanya tegas dalam ceramah Jelajah Hiruk di Taman Cempaka, Ahad.
Rafizi menyelar tindakan membocorkan surat sebagai kerja tidak bermaruah – perbuatan tikam belakang yang merosakkan parti dari dalam.
Ini bukan kali pertama. Rafizi turut mengimbas insiden pada 2019 apabila suratnya kepada Anwar juga ‘disedut keluar’ dan digunakan sebagai senjata dalaman oleh kelompok tertentu.
“Masa tu saya nasihatkan Anwar berhati-hati dengan parasit sekeliling. Tapi surat tu pun bocor. Sama saja,” ujarnya sinis.
Beliau menegaskan keputusan enggan merasmikan kongres sayap parti dibuat atas prinsip – bukan kerana sentimen atau agenda peribadi.
Rafizi kini berdepan dengan realiti pahit – idealisme dalam parti reformasi dilanyak oleh permainan dalaman yang semakin jijik.
Sumber: SinarHarian