BELGRADE: Bekas juara Eropah, Ajax Amsetrdam diikat 2-2 oleh PAOK pada aksi pertama kelayakan ketiga Liga Juara-Juara manakala satu lagi bekas juara, Red Star Belgrade seri 1-1 di gelanggang sendiri bertemu FC Copenhagen, awal pagi tadi.
Juara Azerbaijan, Qarabag mencatat kemenangan 2-1 menentang kelab Cyprus, APOEL tetapi Dinamo Zagreb hilang ‘keseimbangan’ apabila diikat 1-1 di laman sendiri bertemu kelab Hungary, Ferencvaros.
Sementara itu, kelab Belgium Bruges mencatat kemenangan 1-0 di tempat sendiri bertemu kelab Ukraine, Dynamo Kiev.
Juara empat kali, Ajax yang berjuang sehingga separuh akhir musim lalu memulakan aksi di gelanggang PAOK, StadiumTumba dengan langkah kanan apabila Hakim Ziyech membuka tirai jaringan seawal minit ke-10.
Tetapi tuan rumah yang mendapat sokongan padu menyamakan kedudukan menerusi Chuba Akpom pada minit ke-32 sebelum mendahului permainan tujuh minit kemudian menerusi tandukan pertahanan, Leo Matos berpunca sepakan percuma Diego Biseswar.
Ajax yang dikalahkan Tottenham di peringkat empat terbaik musim lalu berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-57 tetapi tiada tambahan jaringan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat.
Juara 1991, Red Star dalam pada itu terus mengharapkan ketajaman penyerangnya, Milan Pavkov yang terkenal selepas menyumbat dua gol ketika menewaskan penyandang juara, Liverpool 2-0 di peringkat kumpulan musim lalu.
Begitupun, selepas meletakkan Red Star di depan pada minit ke-44, Paykov terpaksa dikeluarkan susulan kecederaan dan kelebihan itu dimanfaat pelawat apabila menyumbat gol penyamaan menerusi penalti Jonas Wind pada minity ke-84.
Dalam pada itu, gol daripada Mahir Emreli dan Magaye Gueye memberikan Qarabag kelebihan 2-0 di APOEL sebelum Giorgos Merkis meledak jaringan sagu hati buat tuan rumah pada minit ke-90. – AFP