SOUTHAMPTON: Liverpool tetap lawan yang berbisa walaupun skuadnya keletihan selepas kemenangan penentuan penalti Piala Super, kata pengendali Southampton Ralph Hasenhuettl.
Perlawanan Piala Super menentang Chelsea di Istanbul Rabu lalu diheret ke masa tambahan dan penalti dengan beberapa pemain kelihatan keletihan selepas 120 minit di atas padang, dan pengendali Liverpool Jurgen Klopp mengakui ia perlawanan yang sukar.
“Saya dengar yang Jurgen fikir kami akan meraikannya… yang mereka bermain lebih lama,” kata Hasenhuettl.
“Tahun lalu mereka bermain 13 kali dalam tempoh singkat dan mereka menang 11 serta seri dua daripadanya. Pasukan ini mempunyai kualiti yang tinggi. Tidak ada masalah bagi mereka bermain 120 minit pada Rabu dan datang ke sini untuk bermain dengan baik.”
Southampton tewas 3-0 di Burnley pada aksi pembukaan Liga Perdana minggu lalu dan Hasenhuettl berkata mereka melakukan persiapan rapi sepanjang minggu untuk menyambut kunjungan juara Eropah itu.
“Kami bekerja keras sepanjang dua hari lalu. Hari ini latihan ringan, kami sedikit keletihan tetapi tiada kecederaan,” kata pengendali dari Austria itu. – REUTERS