![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/FOC-SOC-SPO-SPORTING-CP-V-LIVERPOOL---PRE-SEASON-FRIENDLY_1564028930.jpg)
WASHINGTON: Liverpool melengkapkan jelajah Amerika Syarikat (AS) dengan keputusan seri 2-2 hari ini berdepan Sporting CP ketika pasukan Liga Perdana itu gagal mencipta sebarang kemenangan dalam kunjungan pertama sejak bergelar juara Eropah.
Liverpool menamatkan jelajah tanpa kemenangan daripada tiga perlawanan tetapi berjaya mengelak kekalahan berdepan juara Portugal di Stadium Yankee dekat New York.
Marcus Wendel mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-53 dengan sepakan kaki kanan dari tengah kotak penalti ke penjuru kanan selepas menerima hantaran Bruno Fernandes.
Fernandes dan Wendel juga berpasangan bagi mendapatkan gol pertama permainan pada minit keempat buat juara 18 kali liga Portugal itu.
Sepakan kaki kanan Fernandes tampak tidak berbahaya namun penjaga gol Liverpool, Simon Mignolet tersalah agak dan bola menerjah gawang.
Divock Origi dan Georginio Wijnaldum menjaringkan gol buat Reds yang bermain semua tiga perlawanan pertunjukan di venue ikonik sukan AS itu.
Skuad kendalian Jurgen Klopp kehilangan beberapa pemain utama termasuk penyerang Roberto Firmino, Mohamed Salah dan Sadio Mane, yang berehat selepas terbabit dalam COPA America dan Piala Negara-Negara Afrika.
Penjaga gol, Alisson juga mengambil keputusan tidak menyertai jelajah itu. – AFP