Bersedialah UMNO terima hukuman kali kedua dari rakyat

Perbuatan menyerang sesama sendiri menerusi media sosial dan di lapangan, satu perkara yang tidak baik bagi UMNO.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, selaku pemimpin muda, beliau mengingatkan pemimpin parti itu, musuh sebenar mereka ialah Pakatan Harapan (PH).

“Saya lihat kebelakangan ini, kita mula serang sesama kita di sosial media dan di lapangan. Bagi saya, ini satu perkara yang tidak baik buat parti UMNO jika berterusan berpanjangan.

“Selaku pemimpin muda dalam UMNO, saya mengambil pendekatan untuk mengingatkan antara satu lama lain, bahawa musuh utama dan nyata kita ialah DAP dan gabungan PH.

“Sudahkah kita lupa selama 22 bulan PH jadi kerajaan apa yang kita lalui? Bantuan rakyat dikurangkan, penjawat awam dikurangkan dan subsidi rakyat dikurangkan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Malah, tegas Ketua UMNO Bahagian Subang itu ada bantuan rakyat yang diperkenalkan zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) telah dimansuhkan oleh kerajaan PH.

Katanya, sudahkah pemimpin UMNO lupa gerakan PH di peringkat antarabangsa seperti ICERD, bantuan e-wallet RM30 dan sebagainya?

Namun, kata Armand, apa yang menyedihkan serangan dalaman UMNO semakin rancak tanpa disedari perbuatan itu hanya akan merugikan parti.

“Rakyat kini sedang menilai parti kita. Jika kita masih dengan budaya tidak sihat ini, saya risau Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) nanti rakyat akan hukum UMNO sekali lagi.

“Allah berikan peluang kedua kepada kita agar perbaiki kelemahan parti, tetapi jika kita tidak bersyukur pada nikmat-Nya, tidak mustahil Allah akan tarik semula nikmat yang diberikan.

“Saya dengan rendah diri, mohon pada semua kepimpinan, ahli parti dan pendokong parti untuk hentikan serangan dalaman dan fokus pada musuh utama kita iaitu PH,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *