Hishammuddin: ‘BN dah buat keputusan, tapi tak tahu apa jadi Khamis ini’

Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein berkata BN kekal dengan keputusan menyokong Belanjawan 2021 namun pengundian pada Khamis ini masih terbuka kepada kemungkinan.

“BN dah buat keputusan dan tak tahu apa berlaku pada Khamis ini. Berdasarkan perkembangan terkini saya lihat tidak ada perubahan daripada apa yang ditegaskan dan diumumkan oleh parti.

“Itu pendirian parti dahulu (sokongan belanjawan) bagi saya apa diumumkan oleh parti, itulah pendirian kita. Kalau ada mana-mana pihak yang lain yang rasa tak puas hati akhirnya mereka perlu lihat kepada apa yang parti putuskan, itu mudah untuk kita melihat ke depan.

“Kalau tidak semua ada pandangan, sentimen, emosi masing-masing. Kalau kita balik kepada apa yang menjadi persetujuan parti, mudah untuk kita lihat ke depan termasuk hari Khamis nanti,” katanya kepada pemberita di lobi Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, selepas mesyuarat BN malam ini.

Sementara itu, mengulas soalan pemberita adakah BN perlu bergerak secara bersendirian tanpa Perikatan Nasional (PN), Hishammuddin berkata isu itu tidak berbangkit kerana sebarang kemungkinan akan berlaku namun yang penting memperkuatkan kembali BN.

“Adakah ia menjurus kepada keluar daripada PN dan berdiri sendiri?

“Itu semua kemungkinan tak tentu dan perlu tentukan pada hari ini tetapi apa yang penting akhirnya kita ada penyokong di akar umbi untuk diberikan keutamaan sebelum memikirkan hubungan dengan orang lain, kita perlu fikirkan tentang rumah tangga kita terlebih dahulu.

“Akhirnya sebagai parti politik nasib kita ditentukan dalam keadaan kita memahami harapan daripada akar umbi. Kalau kita tidak faham maka tak lamalah kita memimpin,” katanya lagi.

Menurut Hishammuddin, pemimpin BN boleh berbeza pendapat asalkan masih bersama dalam “satu saf.”

Dia menjelaskan spekulasi mengenai mesyuarat BN, memberi gambaran walaupun dalam keadaan politik yang pelbagai kemungkinan namun katanya, pertemuan malam ini berlangsung dengan “semangat kekeluargaan.”

“Apa yang dibincang dalam BN merupakan satu perkara yang bukan sahaja dibincang secara biasa tetapi memandangkan landskap politik hari ini secara telus…

“Petanda bahawa BN bukan saja relevan tetapi keselesaan antara kita yang dah lama dalam rangkaian ini masih lagi wujud.

“Ini saya nampak dari persefahaman, keikhlasan, kejujuran sesama kita.

“Ini satu petanda yang baik. Kita tahu landskap politik di luar itu pelbagai kemungkinan tetapi asalkan kita berada dalam satu saf.

“Boleh berbeza pendapat tetapi akhirnya kita letakkan kepentingan parti dan kepentingan parti mestilah bersandarkan kepada apa yang terbaik untuk rakyat. Dan ini kelebihan pada BN yang kita telah tegaskan dan buktikan,” katanya.

Sementara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata mesyuarat malam ini turut membincangkan mengenai dukungan ahli parlimen gabungan itu dalam pengundian RUU Perbekalan 2021 yang dijangka berlangsung Khamis ini.

“Ini mesyuarat biasa BN, pelbagai perkara telah dibincangkan termasuklah sokongan kita kepada Belanjawan 202 dan begitu juga dengan perkara perkara dalam sesama parti.

“Jadi, bagi saya ini adalah mesyuarat biasa dan dalam keadaan ini kita memperkukuhkan BN dan dalam masa yang sama melakukan yang terbaik untuk negara kita,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada mesyuarat BN malam ini mencapai kata sepakat mengenai sokongan mereka kepada Belanjawan 2021.

Setakat laporan ini ditulis, belum ada lagi penjelasan daripada Pengerusi BN yang juga Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengenai mesyuarat malam ini.

Terdahulu hari ini, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata ahli parlimen BN konsisten menyokong Belanjawan 2021 jika dua permohonan utama gabungan itu diluluskan.

Jelasnya Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mempunyai masa sehingga Khamis ini untuk mempertimbangan permohonan tersebut.

“(Belanjawan 2021) juga dibincangkan dan mengenai belanjawan tentunya kita masih lagi menyatakan bahawa kita menyokong belanjawan dan sokongan kita juga meminta agar dua permohonan utama akan diluluskan dan kita ada sehingga Khamis ini untuk pertimbangan menteri kewangan,” katanya.

Walaupun tidak menyebut dua permohonan utama BN itu, namun Ahmad Maslan dipercayai merujuk kenyataan Pengerusi Kelab Penyokong BN Najib Razak  sebelum ini.

Bekas perdana menteri telah berulang kali menegaskan, BN hanya akan menyokong belanjawan sekiranya terdapat lanjutan moratorium pinjaman dan kebenaran individu mengeluarkan sehingga RM10,000 dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).  

Difahamkan mesyuarat yang dijadual bermula jam 8 malam di ibu pejabat Umno di PWTC itu disertai presiden, ketua wanita dan ketua pemuda setiap parti komponen serta kepimpinan Dewan Tertinggi BN.

Selain itu, ahli Majlis Tertinggi (MT) BN juga dikatakan menyertainya.

Mesyuarat BN sebelum ini menjadi perhatian kerana terdapat anggota parlimen Umno yang tidak berpuas hati dengan belanjawan.

Pengerusi Lembaga Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini dilaporkan berkata anggota parlimen patut diberi kebebasan sama ada untuk menyokong, menolak atau berkecuali ketika undian nanti, berbeza dengan undian berdasarkan parti yang menjadi kelaziman.

Selain itu, mesyuarat malam ini juga berlangsung pada saat berlakunya ‘perselisihan’ dalam Umno apabila beberapa pemimpin parti menyerang Annuar Musa dalam soal hubungan antara parti itu dengan Bersatu.

Antaranya, Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed yang menempelak Setiausaha Agung BN Annuar Musa semalam, berkata akar umbi Umno sudah muak dengan MP Ketereh yang seolah telah menjadi seperti jurucakap Bersatu.-Mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *