Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebenarnya sudah merancang untuk merampas kuasa dan memecah belahkan Pakatan Harapan, seawal Oktober 2019 sebelum langkah Sheraton berlaku.
Senator dari DAP, Liew Chin Tong (gambar) mendakwa, Menteri Kanan Perikatan Nasional (PN) itu berbuat demikian kerana mahu menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Katanya, rancangan Azmin itu dibantu oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam usaha membentuk kerajaan baru.
“Rancangan mereka pada Oktober 2019 adalah untuk menggerakkan kerajaan perpaduan Melayu dengan sokongan kumpulan Hishammuddin (17), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (18) dan Pas (18) untuk menjadikan jumlah mereka sebanyak 53.
“Jumlah berkenaan diperlukan untuk menggantikan AMANAH (11) dan DAP (42).
“Objektif utama adalah menggunakan 53 Ahli Parlimen dari kumpulan Hishammuddin, GPS dan Pas untuk menggantikan DAP dan AMANAH yang hanya mempunyai 53 Ahli Parlimen, dan menutup peluang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri,” kata Pengarah Strategi DAP itu dalam catatan blognya hari ini
Liew berkata, serangan berterusan terhadap DAP juga digerakkan bertujuan menjadikan Pakatan Harapan tidak dapat bertahan bersama yang bermula dengan Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober 2019.
Menurutnya, Azmin percaya bahawa ketika DAP dan AMANAH keluar dari perkiraan, dia akan dapat mengawal sebahagian besar Ahli Parlimen PKR sehingga tidak ada lagi yang akan menyokong Anwar sebagai PM.
Pada 14 Oktober 2019, akhbar New Straits Times menerbitkan idea Hishammuddin Hussein untuk menubuhkan “Bangsa Malaysia” tanpa DAP dan AMANAH.
Tetapi pada masa itu, Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir tidak berminat dengan langkah tersebut.
Kata Senator itu lagi, sebilangan besar daripada Ahli Parlimen PH sudah menyedari plot Azmin-Hamzah-Hishammudin ketika itu dan rampasan kuasa gagal selepas Majlis Setiausaha PH mendedahkan rancangan mereka tepat pada waktunya.
Bagaimanapun katanya, PH gagal menghalang rampasan kuasa pada 23 Februari 2020 ketika Muhyiddin mengesahkan rancangan itu dan Zahid membawa seluruh blok Umno ke meja rundingan dan menegaskan bahawa dia adalah satu-satunya wakil yang bercakap untuk Umno.
“Mereka menganggap Shafie Apdal dan Mahathir akan menyokong, dan kerajaan langkah Sheraton yang baru akan memerintah dengan sekurang-kurangnya 125 kerusi, jika bukan 130 kerusi. Tetapi mereka terkejut ketika Mahathir dan Shafie enggan dikaitkan dengan rancangan berkenaan.
“Sejak itu, kerajaan langkah Sheraton hanya dapat memerintah dengan majoriti kurang dari lima kerusi.
“Ketika negara terus terpengaruh oleh langkah Sheraton, lebih banyak cerita akan muncul untuk membersihkan konspirasi. Inilah masanya untuk kita mengenali dan mendokumentasikan apa yang sebenarnya telah berlaku,” katanya lagi.