LONDON: Frank Lampard meminta penyokong Chelsea menghentikan menyorak namanya selain tidak lagi mengejek pasukan West Ham dengan sorakan ‘The Pikeys’ yang berbaur perkauman dan penghinaan.
Dalam perlawanan persahabatan di Stadium Madejski pagi tadi, penyokong menyorak namanya ketika Chelsea menewaskan Reading 4-3.
Lampard kini meneruskan misinya memerangi perbuatan perkauman sambil meminta penyokong Chelsea membantunya memerangi perbuatan negatif musim ini.
Menurutnya, perkataan “pikeys” yang ditujukan kepada West Ham membawa maksud menghina ke atas komuniti pendatang termasuk masyarakat Romania.
Musim lalu, aktivis anti perkauman yang dikenali sebagai ‘Kick It Out’ membidas penyokong Chelsea yang mengejek pemain Mesir, Mohamed Salah, manakala empat penyokongnya ditahan ketika siasatan dijalankan susulan ejekan berbaur perkauman ke atas penyerang Manchester City, Raheem Sterling ketika dia beraksi di Stamford Bridge.
Lampard memberitahu wartawan bahawa dia tidak mahu lagi mendengar penyokong Chelsea menyanyikan lagu ‘pikeys’.
“Saya tidak mahu dengar lagi nyanyian seperti itu lagi di zaman moden ini.
“Saya tegas dengan saranan ini yang saya perjuangkan sejak sekian lama. Kami tidak mahu mendengar sebarang lagu yang ada perkataan menghina. Jika penyokong ada lagu lain, saya akan menyokongnya. Kami tidak mahu dengar sorakan seperti itu.
“Kelab juga berpendirian tegas mengenai hal yang kami lakukan di luar padang bagi menghindari salah tanggapan dan sikap prejudis dan kami ambil berat untuk menanganinya. – Agensi