HOCKENHEIM, Jerman: Max Verstappen memanfaatkan nasib malang pesaing-pesaingnya untuk memenangi perlumbaan Grand Prix Jerman untuk Red Bull, dengan Sebastian Vettel dari Ferrari di tempat kedua.
Pemandu 21 tahun dari Belanda itu merangkul kemenangan keduanya musim ini dan ketujuh dalam kariernya di hadapan juara dunia empat kali, Vettel yang bermula dari petak ke-20 dan terakhir di atas grid.
Daniil Kvyar dari Toro Rosso di tempat ketiga untuk penamat podium ketiganya dalam Formula Satu.
Perlumbaan hari ini tidak berpihak kepada Mercedes yang meraikan perlumbaan Formula Satu ke-200 dalam era moden dan pembabitan 125 tahun dalam sukan pemotoran, apabila dua pelumbanya – juara lima kali Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas terbabas serta gagal mengutip mata.
Hamilton menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 selepas melakukan enam hentian pit dan gagal mengutip mata buat pertama kali dalam 23 perlumbaan.
“Ia menakjubkan, tetapi cukup sukar di luar sana,” kata Verstappen yang terpaksa masuk ke pit empat kali dan terselamat selepas keretanya berpusing 360 darjah.
“Untuk keputusan yang tepat anda perlu sentiasa fokus. Kami menukar kepada tayar slick dan berpusing 360 darjah. Mujur tiada apa-apa.” – AFP