Balotelli balik kampung sertai Brescia

MILAN: Mario Balotelli akan kembali ke Itali untuk menyertai kelab kampung halamannya Brescia yang baru dinaikkan pangkat ke Serie A.

Penyerang Itali itu  menandantangani kontrak semalam dan akan diperkenalkan hari ini.

“Mario pulang,” kata Brescia dalam satu kenyataan. “Kepulangan ke Itali, selepas tiga tahun, menjadi kenyataan hasil keinginan Mario sendiri untuk pulang ke Brescia – kota di mana dia membesar dan membina kemahiran teknikal dan fizikalnya.”

Balotelli, yang dilahirkan di Sicily tetapi dibesarkan oleh keluarga angkat di pinggir kota Brescia, dilaporkan bersetuju menyertai juara Serie B itu untuk tiga tahun selepas mendapat pelepasan Marseille pada Jun.

“Akhirnya kembali ke kota saya,” kata Balotelli di sosial media.

Balotelli membuat penampilan pertama bersama Lumezzane dalam Serie C pada usia 16 tahun, sebelum menyertai gergasi Serie A Inter Milan pada tahun 2007.

Bagaimanapun aksi sulung Balotelli bersama Brescia tertangguh kerana penyerang itu perlu mengharungi penggantungan empat perlawanan dan dijangka beraksi pada 25 September bertemu Juventus.

Pemain 29 tahun itu menolak tawaran kelab Brazil Flamengo kerana memburu tempat dalam skuad kebangsaan Itali untuk Euro 2020.

Balotelli, yang mengumpul 36 kap bersama Itali, tercicir daripada skuad kendalian Roberto Mancini sejak September kerana tidak mencapai tahap ditetapkan pengendali itu.

Brescia pula kembali menyertai liga tertinggi Itali itu sejak tersingkir ke Serie B pada tahun 2011.

Kali terakhir Balotelli beraksi dalam Serie A ialah bersama AC Milan ketika dipinjamkan oleh Liverpool pada musim 2015-16.

Sebelum itu dia membarisi skuad Inter Milan yang dikendali Jose Mourinho dan memenangi treble Serie A, Piala Itali dan Liga Juara-Juara pada tahun 2010.

Dia memenangi tiga gelaran Serie A bersama Inter sebelum membantu Manchester City memenangi Liga Perdana Inggeris pada tahun 2012. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *