China, Korea Utara halangan Pandelela-Mun Yee

KUALA LUMPUR: Gandingan 10 meter platform wanita negara yang sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo – Pandelela Rinong Pamg dan Leong Mun Yee – akan diuji sekali lagi dengan kali ini Korea Utara bakal memberi saingan buat mereka pada Piala Asia yang akan berlangsung pada 6-8 September ini di Kuala Lumpur.

Jurulatih terjun negara Li Rui berkata Korea Utara tidak turut serta pada Kejohanan Dunia FINA di Korea Selatan pada bulan lalu yang menyaksikan Pandelela-Mun Yee menghadiahkan pingat perak sekali gus memperoleh tiket awal ke Olimpik Tokyo.

“Memang persaingan dalam acara 10m platform seirama wanita di Tokyo nanti dijangka adalah China dan Korea Utara. 

“Pada kali ini kita akan memberi fokus pada acara ini juga walaupun dah layak ke Olimpik. Kita mahu tengok perbezaan tahap kita dengan mereka dan juga melihat sejauh mana kekuatan yang ada pada penerjun mereka kali ini,” kata Li Rui.

Li Rui berkata Pandelela, Mun Yee dan juga seorang penerjun lelaki, Ooi Tze Liang akan menjalani persiapan selama tiga minggu di Sichuan, China bermula Khamis ini.

“Bagi Tze Liang, kita mengharapkan dia boleh layak ke Olimpik menerusi tiket yang ditawarkan pada Piala Asia nanti,” katanya. 

Di Piala Asia nanti, hanya satu tiket ke Olimpik ditawarkan dengan juara dalam setiap acara bakal melayakkan diri ke Tokyo.

Mengenai nasib bekas juara dunia, Cheong Jun Hoong yang masih menjalani pemulihan pada masa ini, Li Rui berkata penerjun itu perlu menunggu sehingga bulan depan di mana Institut Sukan Negara (ISN) akan mengadakan pemeriksaan sekali lagi sama ada memberikan dia ‘lampu hijau’ untuk berlatih seperti biasa.

“Kami mahu dia menjalani pemulihan secara perlahan-lahan, saya sasarkan dia untuk melayakkan diri pada kelayakan terakhir pada Piala Dunia tahun hadapan (21-26 April 2020 di Tokyo),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *