FAM bidas kenyataan ‘tunggakan gaji RM6.4 juta’ PFAM

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membidas tindakan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang mendedahkan beberapa pasukan tempatan mempunyai tunggakan gaji mencecah RM6.4 juta secara keseluruhannya.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menyifatkan kenyataan dikeluarkan PFAM menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail, semalam, sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, Izham tidak menjelaskan mengenai keadaan sebenar berkaitan isu tunggakan gaji bagi sesetengah pasukan yang disebut dalam kenyataan dibuat PFAM itu.

“Untuk makluman tidak semua pasukan yang dinyatakan itu langsung tidak bertanggungjawab dalam menyelesaikan tunggakan gaji berkenaan dan kenyataan secara umum dibuat itu sesuatu yang tidak profesional dan sudah tentu tidak menyelesaikan masalah.Iklan

“Malah itu jelas bertentangan dengan segala usaha telah ditunjukkan oleh sesetengah pasukan itu dalam menyelesaikan tunggakan gaji berkenaan secara baik dengan pemain mereka mahupun menerusi PFAM sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Beberapa pasukan yang disebut nama mereka dalam kenyataan PFAM itu telah menghubungi saya untuk menyatakan kekesalan mereka terhadap tuduhan dan dakwaan tersebut,” katanya.

Izham dalam kenyataan tersebut mendakwa Melaka, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pahang masih berdiam diri berhubung isu tunggakan gaji meskipun sebelum ini berjanji akan menyelesaikan sebaik menerima geran hak penyiaran daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Menurut Izham, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Felda United yang membuat perjanjian bagi membuat pembayaran secara berperingkat sebelum ini turut melanggar janji tersebut.

Justeru, Stuart menjelaskan mengenai keadaan sebenar mengenai isu tunggakan gaji melibatkan pasukan Negeri Sembilan dan Pahang yang disebut PFAM.

“Tuduhan terhadap Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), rekod FAM mendapati bahawa PBNS tiada sebarang kes dengan FAM atau Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sementara Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) tidak mempunyai sebarang kes dengan FAM.

“Hanya satu kes yang dibawa ke FIFA, namun pembayaran tunggakan itu sudah diselesaikan PBNP. Jika ada, ia mungkin sama ada tidak dilaporkan atau masih belum diputuskan keputusannya oleh FAM atau FIFA,” katanya.

Pada masa sama, Stuart menjelaskan mengenai situasi dihadapi Melaka, PDRM dan Kelantan yang turut terpalit dengan dakwaan itu.

“Bagi Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), hanya tiga kes tunggakan gaji yang masih belum selesai dan menanti keputusan iaitu kes FAM membabitkan G Puaneswaran serta dua kes FIFA membabitkan Tiago Gomes dan Lee Chang-hoon.

“PDRM pula memaklumkan mereka telah membayar tunggakan gaji pemain bagi tahun 2018, Februari lalu dan menerusi perbincangan bersama MFL di mana mereka bersetuju menyelesaikan tunggakan berkenaan menerusi pemotongan geran tahunan pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, FAM mengingatkan PFAM supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan kekeliruan dan menimbulkan persepsi negatif.

“PFAM sepatutnya tidak membuat kenyataan secara umum atau menyeluruh seperti ini tanpa menawarkan sebarang jalan penyelesaian atau memberi keadilan kepada semua pemegang taruh dalam bola sepak Malaysia.

“Perspektif sempit dari sudut pandang PFAM semata-mata tidak boleh dianggap sebagai cara untuk menyelesaikan masalah ini tetapi sebaliknya memerlukan kerjasama dengan kelab dan semua pemegang taruh bola sepak untuk menyelesaikannya,” kata Stuart.

– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *