Kasma azam terus kumpul mata

KUALA LUMPUR: Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM bagi musim 2019 semakin hampir melabuhkan tirainya tatkala gelaran bagi saingan kelas SuperSports 600cc hampir pasti berada dalam genggaman pelumba Thailand, Peerapong Boonlert.

Selepas empat pusingan setakat ini, pelumba Yamaha Thailand Racing Team itu terus selesa memimpin kedudukan keseluruhan dengan 191 mata dan ia dilihat cukup kukuh bagi membolehkannya bergelar juara.

Jika terus menguasai saingan Pusingan 5 di Litar Antarabangsa Zhuhai (ZIC) minggu ini, status itu pasti menjadi miliknya.

Berdasarkan pencapaiannya dalam empat pusingan sebelum ini, pelumba Thailand itu terus konsisten mengutip mata selain menjuarai Perlumbaan 1 dan 2 di Pusingan 1, 2 dan 3 serta muncul juara Perlumbaan 2 pada Pusingan 4 di Suzuka bulan lalu.

Pencabar terdekatnya adalah pelumba Hong Leong Yamaha Malaysia, Kasma Daniel Kasmayudin yang berada di tempat kedua keseluruhan dengan 98 mata namun berdasarkan matematik, jurang 93 mata antara mereka itu bukanlah sesuatu yang mudah buat Kasma memintas Peerapong.

Walaupun menyedari hakikat itu, ia bukan halangan buat Kasma untuk terus melontarkan cabaran kerana dia percaya segala kemungkinan boleh berlaku ketika berada di atas litar.

Malah, kecemerlangan Peerapong itu tetap tidak menjejaskan fokus Kasma yang sudah bersedia untuk menghadapi cabaran di ZIC walaupun litar ini sudah lama tidak berada dalam radar ARRC.

Mengulas mengenai saingan kali ini, Kasma melihatnya sebagai satu perlumbaan menarik apatah lagi semua pelumba tidak biasa dengan selok belok litar berkenaan. 

“ZIC mungkin baharu bagi para pelumba muda kerana Zhuhai sudah lama tidak menjadi hos perlumbaan ini. Keadaan ini akan menjadikan saingan lebih menarik.

“Saya sentiasa bersedia dan apa yang lebih penting adalah tahap kecergasan dan prestasi jentera terus stabil,” kata Kasma yang baharu pulang daripada latihan di Sepanyol minggu lalu.

Pencapaian Kasma di ARRC musim ini boleh dianggap cemerlang kerana dia kekal konsisten menamatkan perlumbaan dalam kelompok lima teratas.

“Soal kemenangan podium itu perkara kedua kerana apa yang lebih penting adalah untuk terus mengumpul mata,” kata Kasma yang tidak menolak kemungkinan bakal berdepan saingan hebat daripada pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar minggu ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *