Kedah terususaha pertajam serangan

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mahu ketajaman dalam serangan terus dipertingkatkan dalam usaha memburu tiga mata pada perlawanan keempat kumpulan A Piala Malaysia menentang PKNS FC, di Stadium Darul Aman, esok.  

Ini merupakan misi penting untuk skuad Lang Merah selepas gagal memungut mata penuh selepas tewas 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) dan seri 1-1 pada aksi menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam Jumaat lalu.

“Faktor ketajaman akan terus diberi perhatian dan penekanan itu penting dalam usaha kami untuk memburu tiga mata pada perlawanan kali ini.”

Selepas dua perlawanan tanpa mata penuh, kami perlu bangkit segera untuk membuktikan aksi sebenar di laman sendiri bagi mengekalkan rentak yang meyakinkan dalam saingan Piala Malaysia musim ini.”

“Kami perlu terus fokus, memberi komitmen yang tinggi sepanjang perlawanan ini walaupun kami sedar ianya bukan satu tugas mudah apabila berhadapan PKNS FC kerana sedikit kesilapan atau kelekaan boleh membawa padah.” 

Aidil yang berjaya membawa Kedah menjuarai Piala FA musim ini bagaimanapun berharap segala kelemahan pada perlawanan lalu perlu menjadi iktibar dan dielakkan agar tidak memberi kelebihan buat pasukan lawan yang juga turun dengan harapan memungut mata penuh. 

“Memang kita telah membuat berbagai perancangan serta menyusun strategi terbaik pada perlawanan sebelum ini, namun kali ini, kita perlu terus gandakan usaha dan berjuang hingga mencapai sasaran.”

Ditanya mengenai status dua pemain utama yang sebelum ini dikaitkan dengan kecederaan iaitu Azmeer Yusof  dan Farhan Roslan, Aidil berkata setakat ini beliau belum dapat mengesahkannya. 

“Saya berharap mereka sudah pulih sepenuhnya, namun kepastian mengenai perkara itu cuma akan diketahui esok sama ada mereka sudah bersedia menggalas cabaran.” 

Kali terakhir Kedah mencatat kemenangan di laman sendiri adalah ketika menentang Perak dalam aksi Liga Super pada 13 Julai lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *