KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah yang mengalami kemalangan di Grand Prix (GP) Austria hujung minggu lalu dilaporkan cergas untuk beraksi di Grand Prix (GP) British 23 hingga 25 Ogos ini.
Berdasarkan laman akaun Instagram pasukannya – Red Bull KTM Tech3 – Hafizh dibenarkan keluar selepas pihak hospital melakukan pemantauan kesan gegaran di kepala selain membersihkan luka di bahagian siku kanannya.
“Hafizh dibenarkan keluar dari hospital susulan gegaran di kepala dan melakukan pembedahan kecil bagi membersihkan luka di siku kanannya.
“Sedia untuk (proses) pemulihan dan akan kembali cergas di Silverstone!,” tulis pasukan itu.
Malah rakan sepasukan Hafizh dari Portugal, Miguel Oliveira turut memberi sokongan menerusi ruangan komen dengan menyatakan, ‘Bo55ku kuat’ sebelum dibalas pelumba negara itu, ‘terima kasih’, satu perlumbaan yang menarik daripada kamu’.
Ahad lalu, Hafizh dikejarkan ke hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut kerana mengalami gegaran di kepala selepas terbabit dalam kemalangan di Litar Red Bull Ring-Spielberg itu.
Berbaki lapan pusingan, pelumba berusia 25 tahun itu sudah mengumpul tiga mata selepas meraih penamat di tempat ke-14 di GP Perancis dan ke-15 di GP Belanda.