Ozil, Kolasinac sedia beraksi

LONDON: Pengendali Arsenal Unai Emery kini boleh menurunkan Mesut Ozil dan Sead Kolasinac di Emirates bertemu Burnley esok selepas kedua-dua pemain itu terlepas kunjungan ke Newcastle atas faktor keselamatan.

Ozil dan Kolasinac menjadi mangsa kepada percubaan rompakan kereta di London bulan lalu.

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan Kolasinac keluar daripada kenderaan untuk berdepan perompak yang bersenjatakan pisau manakala Ozil berada di dalam kereta bersama isterinya, Amine Gulse.

Arsenal kemudian merehatkan dua pemainnya itu untuk perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris di Newcastle bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Bagaimanapun Emery mengesahkan kedua-dua pemain berkenaan sudah kembali menjalani latihan dan boleh diturunkan esok.

“Iya, 100 peratus,” kata pengendali dari Sepanyol itu apabila ditanya sama ada Ozil dan Kolasinac sedia beraksi.

“Mentaliti mereka tertumpu kepada kami, untuk latihan dan perlawanan.“Fokus saya ialah untuk menjadi positif dan merasakan pemain-pemain sudah 100 peratus bersedia.”

Polis mengesahkan dua lelaki sudah didakwa berkaitan insiden rompakan berkenaan.

Menurut laporan mereka ditangkap selepas bertengkar dengan pegawai keselamatan di kediaman Ozil. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *