Peluang Syahir dan Zulkifli masih terbuka – Syed Saddiq

PUTRAJAYA: Pintu rundingan masih terbuka untuk dua tekong utama negara, Mohd Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak kembali menyertai skuad sepak takraw.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkara berkenaan sudah dibincangkan antara Majlis Sukan Negara (MSN) serta Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) baru-baru ini.

Katanya, kedua-dua atlet berkenaan akan dipanggil oleh PSM untuk menjawab setiap pertuduhan dalam jawatankuasa tatatertib badan induk berkenaan.

“PSM mungkin ada proses mereka yang tertentu dalam perkara ini, jadi, kita tunggu dahulu keputusan itu.

“Saya pun nak pastikan bahawa atlet terbaik ini tetap dapat mengharumkan nama Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Keusahawanan Digital e-USAHAWANAN Young Heroes KBS-Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai peluang Syahir dan Zulkifli untuk kembali menyertai skuad sepak takraw negara selepas PSM dilihat tidak memberi laluan mudah kepada atlet berkenaan.

Sebelum ini, walaupun kementerian memberi reaksi positif kedua-dua tekong itu bakal kembali, PSM tetap bertegas bahawa mereka masih perlu melalui proses yang termaktub dalam perlembagaan badan induk itu.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berharap isu berkenaan dapat diselesaikan sebaik mungkin bagi mengelak prestasi sepak takraw negara merudum.

“Sebab itu kita mahu situasi menang-menang dalam hal ini. Saya juga dimaklumkan kedua-dua atlet itu masih berminat untuk wakili negara, sebab itu proses rundingan masih dijalankan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *