LIVERPOOL: Ramai pengurus sudah membelanjakan wang yang besar dalam mengejar kejuaraan, namun jurulatih Liverpool, Juergen Klopp menggunakan pendekatan berbeza menjelang musim baharu dengan mempercayai barisan sedia ada bagi mencari mahkota Liga Perdana.
Pada 2008, selepas Manchester United meraih gelaran kedua berturut-turut, ketua eksekutif David Gill berkata: “Saya rasa ia adalah liga terbaik dunia, jadi jika kami mahu terus berada di atas, kami perlu melihat skuad, memperbaikinya.”
United menang Liga Juara-Juara beberapa minggu selepas itu tetapi masih mahu membelanjakan wang membeli penyerang Tottenham Hotspur dari Bulgaria, Dimitar Berbatov walaupun sudah memiliki Carlos Tevez, Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney.
Pendekatan Klopp sangat berbeza, dengan Liverpool masih belum membuat sebarang pembelian besar pada penutup musim.
“Tahun depan akan ada lagi fasa perpindahan,” kata Klopp. “Pasukan ini amat bagus dan kami membelanjakan wang yang besar untuknya. Sekarang kami perlu menggunakannya.”
Pengendali dari Jerman terus percaya kepada kumpulan pemain dimilikinya.
Sebelum meraih mahkota Liga Eropah keenam pada Jun, Liverpool mengumpul 97 mata musim lalu – ketiga tertinggi secara keseluruhan sepanjang sejarah Liga Perdana.
Mereka melakukan apa yang terdaya tetapi Manchester City menewaskan mereka dengan hanya satu mata walaupun Liverpool hanya tewas satu perlawanan liga sepanjang musim – senario yang tidak mahu diulangi.
Tiga penyerang Liverpool – Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane ditakuti seluruh Eropah dan pertahanan mereka melepaskan gol paling sedikit berbanding pencabar Liga Perdana yang lain musim lalu.
“Mereka membayar wang yang besar untuk mengekalkan kumpulan ini dan Klopp mesti mencari peluang untuk mencari apa yang boleh dilakukan dengan skuad yang bagus ini,” kata bekas penyerang Liverpool, Robbie Fowler. – Reuters