Zidane mahu Bale kembali fokus bantu Real

PEMAIN Real Madrid, Gareth Bale. – Foto REUTERS

MUNICH: Zinedine Zidane berharap Gareth Bale kembali menjalani latihan dengan serius dan memberikan fokus membanu Real selepas pemain sayap itu dilihat bermain golf di Sepanyol ketika pasukannya mengharungi perlawanan Piala Audi, yang berlangsung di Allianz Arena, Munich, Jerman.

Media Sepanyol melaporkan Bale dilihat bermain golf ketika Real Madrid tunduk 0-1 di tangan Tottenham Selasa lalu.

Pada perlawanan itu, Bale tidak diturunkan susulan arahan doktor yang mendapati dia tidak cergas dan tidak menyertai pasukan ke Jerman..

Sebelum ini, Bale sepatutnya menyertai Kelab Jiangsu Suning di Liga Super China, namun perjanjian perpindahan itu terbatal hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, Madrid bangkit dengan membelasah wakil Turki, Fenerbahce 5-3 dalam aksi terakhir semalam, namun gelagat Bale kembali menjadi tumpuan sejurus perlawanan itu tamat.

“Saya tidak tahu apa yang dia [Bale] lakukan. Saya bersama pemain di sini,” kata Zidane ketika ditanya mengenai kelibat Bale di padang golf itu.

“Saya tidak boleh komen mengenai perkara itu. Saya harap dia kembali berlatih (bersama Madrid). Kami berada di sini memikirkan kemajuan pasukan.

“Kami akan lihat apa perlu dilakukan apabila pulang nanti. Saya tidak boleh menyekat sesiapa daripada melakukan apa yang mereka lakukan, kami semua ada tanggung jawab. Saya tidak boleh masuk campur hal peribadinya. Dia berada di sana untuk berlatih dan saya fikir dia melakukannya.

Diasak lagi mengenai Bale, Zidane menambah: “Ada soalan lain? Kamu tidak boleh desak saya dalam kedudukan yang saya tidak gemar. Saya tidak akan menjawab lebih daripada ini.”

Jendela perpindahan Eropah kini sudah ditutup sekali gus menghalang sebarang peluang untuk Bale melangkah keluar dari Real yang disertainya sejak enam musim lalu.

“Sehingga 31 Ogos, semua kemungkinan boleh berlaku,” kata Zidane merujuk kepada tempoh akhir perpindahan La Liga.

“Saya pasti kamu bosan dengan jawapan saya, saya juga letih berdepan karenah mereka di peringkat ini.”

Meskipun Madrid membelasah Fener 5-3 dengan menyaksikan hatrik Karim Benzema, namun kesebelasan Zidane sudah bolos 16 gol dalam lima aksi pra musimnya.

“Kami akan membaiki kelemahan ini, akan terus kerja keras. Saya pasti akan berdepan musim yang lebih baik.

“Tiada siapa yang gemar dibolosi, tapi kami menang dengan lima gol. Ia mungkin lebih lagi, itu saja,” katanya.– Agensi 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *