MILAN: AC Milan menandatangani penjaga gol Bournemouth, Asmir Begovic bagi menggantikan Pepe Reina dari Sepanyol yang dipinjamkan ke kelab Liga Perdana Inggeris Aston Villa untuk tempoh enam bulan.
Penjaga gol Bosnia berusia 32 tahun itu kembali ke Liga Perdana selepas dipinjamkan separuh musim kepada kelab Azerbaijan FK Qarabaq.
Begovic, yang memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea pada musim 2016-17 walaupun hanya bermain dua perlawanan liga, bersetuju menandatangani kontrak enam bulan sehingga 30 Jun, kata AC Milan dalam satu kenyataan.
“Begovic akan menyertai rakan sepasukan baharunya esok (hari ini),” kata kelab Itali itu.
Reina, bekas penjaga gol Liverpool dan Napoli, yang kontraknya bersama Milan akan berakhir tahun depan, hanya beraksi sekali untuk kelab itu musim ini.
Begovic berpeluang beraksi esok menentang SPAL dalam saingan Piala Itali selepas penjaga gol utama Milan Gianluigi Donnarumma mengalami masalah otot.
Dia tampil 62 kali untuk Bosnia dan memakai lilitan kapten sebanyak lima kali. – AFP