KUALA LUMPUR: Sukan permotoran terutama dua roda sudah lama bertapak di Malaysia selain semakin meniti di bibir peminat sukan tanah air namun siapa sangka di sebaliknya ada perasaan terbuku di hati kalangan pelumba.
Karier sebagai pelumba adalah satu kerjaya profesional yang kebanyakannya penuh liku-liku sepanjang karier mereka harus dilalui sendirian, tidak sama seperti atlet sukan lain yang menerima lebih banyak kemudahan seperti lanjutan pendidikan, insentif kewangan, jaminan kebajikan, kaunseling, pusat latihan bersepadu dan menikmati kemudahan latihan sains sukan.
Kemudahan diterima atlet sukan lain ini disediakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN). Malah Yayasan Kebajikan Bekas Atlet Kebangsaan (YAKEB) juga ditubuhkan dalam usaha menghargai pencapaian mereka ketika dan selepas bergelar atlet.
Begitupun, semua nilai tambah ini tidak dirasai pelumba permotoran negara walaupun ada antara mereka pernah membawa dan mengharumkan nama Malaysia baik di pentas domestik, Asia Tenggara, Asia mahupun dunia.
Sebagai contoh nama seperti Azlan Shah Kamaruzaman dan Zaqhwan Zaidi, kedua-duanya sudah membuktikan kemampuan di peringkat Asia dengan pernah muncul juara keseluruhan kelas SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) masing-masing pada 2013,2017 dan 2014,2016 tatkala kedua-duanya juga pernah beraksi di pentas Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia.
Tidak cukup dengan itu, tahun 2016 juga menyaksikan sejarah tercipta apabila pelumba Khairul Idham Pawi melakar dua kemenangan masing-masing di Grand Prix (GP) Argentina dan Jerman, satu kejayaan yang amat dinantikan penggiat sukan permotoran dua roda manakala rakan senegaranya ketika itu, Adam Norrodin turut membuktikan semangat luar biasa – menolak jentera Moto3 sehingga ke garisan penamat selepas terjatuh di selekoh akhir perlumbaan di Litar Termas De Rio Hondo dalam usaha merebut penamat podium.
Ini semua menunjukkan jasa dan keringat pelumba sama sekali setanding atlet kebangsaan yang lain yang berjuang membawa nama Malaysia, cuma apa dilalui tidaklah di pentas temasya tershohor seperti Sukan Asia mahupun Olimpik.
Begitupun, ‘layanan’ seharusnya setimpal dan pihak berwajib terutamanya KBS patut mempertimbangkan mereka diberi layanan sama seperti atlet-atlet lain.