Rooney kekal lilitan kapten Derby

LONDON: Pengurus Derby Phillip Cocu mengesahkan Wayne Rooney akan terus memakai lilitan kapten bagi perlawanan selepas ini sejurus bekas penyerang Manchester United itu tampil mengagumkan pada penampilan sulungnya.

Rooney yang menyertai Derby dengan dua kapasiti, pemain dan jurulatih melakukan umpanan bagi gol pertama pasukan itu yang menewaskan Barnsley 2-1 dalam aksi Liga Kejuaraan, awal pagi tadi.

Pemain berusia 34 tahun itu mengharungi 90 minit permainan sekali pun tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif sejak Oktober lalu ketika pasukannya mengesahkan tiga mata penting untuk permulaan 2020.

“Ia kemenangan yang baik,” kata Rooney. “Prestasi Barnsley baik dan tidak kalah dalam lima perlawanan. Saya melihat permainan mereka di awal musim dan ia adalah Barnsley yang berbeza daripada itu.

“Kami meraih tujuh mata daripada sembilan perlawanan terakhir dan bagi saya, saya gembira untuk bermain selama 90 minit. Penerimaan daripada peminat juga hebat. 

“Saya menyaksikan kesemua perlawanan sejak bulan lalu dan mereka sentiasa melayan saya dengan baik, jadi bagus untuk keluar ke padang hari ini dan membantu pasukan meraih kemenangan.”

Kejayaan menewaskan Barnsley adalah kemenangan kedua berturut-turut Derby dalam saingan liga dan membawa pasukan itu ke tangga ke-17.

Selepas melihat impak positif Rooney, Cocu mengesahkan dia akan melakukan kesilapan jika tidak memberikan penjaring terbanyak England itu lilitan kapten secara kekal.

“Wayne Rooney adalah kapten kami,” kata Cocu. “Jika kami mempunyai pemain yang juga kapten pasukan kebangsaan dengan karier, pengalaman dan sifat kepimpinan, saya fikir masuk akal semua orang bersetuju dia adalah kapten Derby.” 

Perlawanan Derby seterusnya adalah bertemu kelab Liga Perdana, Crystal Palace bagi saingan pusingan tiga Piala FA. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *