Iktiraf tanah adat peribumi juga syarat MSPO, kata menteri

Pengiktirafan Tanah Adat Peribumi (NCR) adalah komponen mandatori dalam pematuhan standard Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Ia susulan kenyataan NGO Sahabat Alam Sekitar (SAM) berhubung tanah NCR yang masih dicerobohi syarikat minyak sawit besar di Sarawak, dan Teresa mesti tahu perbezaan keadaan di Semenanjung dengan Sarawak sebelum menyokong industri sawit.

Pensijilan MPSO akan diwajibkan kepada pengeluar minyak sawit Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Menjawab kritikan SAM, Kok membangkitkan Prinsip 3 dalam MPSO berkenaan syarat berkaitan NCR.Iklan

Dalam bahagian itu, katanya, syarikat berdaftar di bawah MSPO wajib mengiktiraf NCR selain membuktikan hak penggunaan tanah mereka.

“Ia (antara lain) memerlukan pemohon sijil mengiktiraf dan mengadakan usaha ke arah penyelesaian saksama terhadap sebarang tuntutan NCR,” katanya sambil menjelaskan syarikat perlu menunjukkan mereka memahami hak tersebut dan tidak mengancamnya.

“Selain itu, semua entiti yang memohon pensijilan MSPO perlu memiliki proses penyelesaian konflik dan pertikaian yang sewajarnya yang telah diterima semua pemegang taruh.

“Jika ada pertikaian, bukti berdokumen berkenaan pemerolehan tanah mengikut undang-undang serta pampasan saksama, yang telah atau sedang dibuat kepada pemilik atau penghuni sebelumnya, akan ditunjukkan,” katanya lagi.

Ketetapan itu terpakai untuk Semenanjung, Sabah dan Sarawak, katanya lagi.

Semalam, Presiden SAM Meenakshi Raman juga berkata pemilik ladang kecil di Semenanjung yang berada bawah Felda, disokong NGO dengan pemahaman bahawa tiada lagi peluasan ladang itu di Malaysia.

Bagaimanapun masih ada konflik antara golongan peribumi di Sarawak dengan syarikat perladangan besar – sama ada pengeluar minyak sawit atau pulpa kertas.

“NCR diiktiraf oleh mahkamah, tetapi tiada pelaksanaan di lapangan. Mereka (syarikat) secara konsisten tidak mahu mengakui bahawa hak tanah telah dicabuli.

“Dalam konteks ini, apabila kita bercakap tentang pensijilan, bagaimana ia boleh jadi mapan di saat hak peribumi dicabuli secara sistematik,” kata Meenakshi.

SAM juga melancarkan dokumen ‘Tanah Kami yang Hilang – Hak tanah adat dan perladangan monokultur di Sarawak’ yang antara lain memuatkan kajian kes dan analisis tanah NCR yang hilang akibat perladangan monokultur berskala besar.

  • malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *