Hizbut Tahrir dakwa Jais tangkap 5 ahli, termasuk ibu mengandung

Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) mendakwa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menangkap empat anggotanya dalam suatu serbuan di sebuah kafe di Kompleks PKNS Shah Alam.

Jurucakap HTM Abdul Hakim Othman, berkata serbuan Jais pada 28 Julai itu sebagai ‘bermain kasar’ selepas menurutnya pertama kali penangkapan melibatkan anggota wanita.

“Sebelum ini mereka hanya menyasarkan kaum lelaki dengan jumlah tangkapan ke atas anggota Hizbut Tahrir setakat ini seramai tujuh orang,” dakwanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Abdul Hakim serbuan oleh kira-kira 15 anggota penguatkuasa JAIS itu dilakukan sekitar jam 4.20 petang.Iklan

Katanya, mereka yang ditangkap ialah tiga wanita – masing-masing berusia 64, 40, dan 25 tahun – dan seorang lelaki berusia 19 tahun.

“Wanita berusia 40 tahun itu juga ialah ibu kepada tiga anak dan sedang mengandung lapan bulan,” katanya lagi.

Katanya lagi, serbuan itu dibuat ketika mereka sedang terlibat dalam program ceramah bertajuk “Ayuh kekalkan momentum Ramadhan” yang disampaikan Kalsom.

“Wanita berusia 64 tahun itu ditangkap atas tuduhan sebagai penganjur… manakala dua lagi ialah anak kepada pemilik kafe yang kini sedang menunaikan ibadah Haji,” katanya lagi.

Abdul Hakim mendakwa semua yang hadir ke program itu turut diberi notis untuk ke pejabat Jais bagi memberi keterangan sebagai saksi, dan salah seorangnya – wanita berusia 42 tahun – telah ditahan ketika berbuat demikian semalam.

“Kesemua yang ditangkap telah dibebaskan dengan jaminan lisan dan akan didakwa mengikut Seksyen 12(c) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 iaitu menghina pihak berkuasa agama kerana bertindak bertentangan dengan fatwa.

“Fatwa yang dimaksudkan ialah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor ke atas Hizbut Tahrir pada 17 September 2015 (berkenaan pertubuhan itu sebagaisesat dan menyeleweng dari Ahli Sunnah Wal Jamaah) yang penuh dengan fitnah dan pembohongan,” katanya lagi.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang tadi, pegawai Jais berkata tidak dapat memberi kenyataan atau mengesahkan serbuan itu.

Untuk rekod, Hizbut Tahrir difatwakan sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam di sejumlah negeri di Malaysia, antaranya di Selangor dan Negeri Sembilan (proses pewartaan).

Pada 5 Mei 2017, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam membatalkan permohonan semakan kehakiman gerakan itu untuk mencabar fatwa pengisytiharan sesat di Selangor.

  • malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *