Menu daging dianggap mewah

“APABILA dapat makan daging, mereka anggap ia menu yang sangat mewah kerana hanya dapat merasai makanan itu setahun sekali sahaja,” kata Pengurus Besar Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor yang juga Ketua Misi Qurban Mudah 2019 di Arakan, Myanmar.

Beliau dan enam lagi sukarelawan menjayakan misi korban sempena Aidiladha bersama etnik Rohingya, bermula 8 Ogos lalu sebelum pulang ke tanah air hari ini.

Menceritakan pengalamannya, Mohd Hakim, 32, berkata, kehadiran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan di Arakan disambut baik oleh pelarian Rohingya yang sekian lama menantikan bantuan daripada pihak luar.

“Kami lihat setiap hari tangisan kegembiraan penduduk di Arakan kerana selama ini mereka diabaikan dan tidak dipedulikan malah, mereka ucapkan terima kasih kerana mengambil berat keadaan di sana.

“Justeru, kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana andalah hero setiap orang di Arakan yang berjumlah kira-kira 140,000 orang kerana mereka dapat menerima makanan hasil korban yang dijalankan,” katanya pada sidang media ketibaan sukarelawan dari Yangon di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini

Enam lagi sukarelawan yang tiba ialah Shamsul Anwar M Busra, 48, Mohd Roshadrimi Md Jani, 30, Taufiq Mohd Razif, 29, Kamarul Haizat Abd Karim, 29,

Ahmad Afnan Rosli, 29 dan Muhammad Faeez Azahar, 26.

Dalam pada itu, Mohd Hakim berkata, 2,783 lembu disembelih sepanjang misi berkenaan iaitu hasil daripada penyumbang yang majoritinya adalah umat Islam dari Malaysia.

“Ini kali pertama dalam sejarah kita iaitu 2,783 lembu korban berjaya dilaksanakan dalam tempoh empat hari di kem pelarian dan merupakan satu kejayaan besar.

“Tahun lalu, hanya 120 lembu korban dilaksanakan dalam misi berkenaan dan sasaran awal pada tahun ini ialah sebanyak 2,500 tetapi jumlah itu bertambah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, ketujuh-tujuh sukarelawan terbabit sepatutnya pulang ke tanah air esok namun disebabkan faktor tertentu, mereka perlu pulang lebih awal.

“Kami pulang awal disebabkan isu keselamatan dan kami juga sudah berbincang dengan pihak berkuasa tetapi tidak dapat menceritakan secara terperinci.

“Pihak berkuasa dan kedutaan meminta kami serta-merta meninggalkan tempat itu dan kami menghormati permintaan berkenaan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak Kedutaan Malaysia serta Duta Besar Malaysia kerana memberi sepenuh kerjasama kepada kami dan alhamdulillah, semua sukarelawan selamat tiba di Malaysia,” katanya.

  • myMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *