Terlanggar cermin sisi punya hal..

SEORANG lelaki tempatan berusia 44 tahun cedera dipercayai dipukul lapan individu selepas terlanggar cermin sisi sebuah kereta di parkir berhadapan sebuah restoran di Jalan Sutera Taman Sentosa, Johor Bahru, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, siasatan awal mendapati kejadian jam 11 malam membabitkan mangsa yang juga seorang peniaga.

“Mangsa memandu keretanya di Jalan Sutera berhadapan sebuah restoran sebelum terlanggar cermin sisi sebuah kereta lain,” katanya.

Katanya, pemilik kereta iaitu seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun kemudian memarahi mangsa dan datang bersama tujuh individu lain.

“Suspek mengetuk kereta mangsa menggunakan kayu hingga mangsa keluar daripada kenderaannya, selepas itu suspek dipercayai memukul mangsa beramai-ramai.

“Siasatan lanjut ketika kejadian, mangsa dipercayai bersama isteri dan seorang anak lelakinya dalam kereta untuk mencari kedai makan di sekitar Taman Sentosa.

“Suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan mangsa yang melanggar cermin sisinya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

bagaimanapun, Shahurinain berkata, insiden itu dileraikan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan yang ketika itu melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

Katanya, susulan itu, polis menahan seorang suspek, manakala tujuh individu lain melarikan diri.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • myMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *