Maaf Tak Cukup – Sin Chew Kena Jawab!

Akhbar Cina terkemuka, Sin Chew Daily, kini berada di bawah tekanan hebat selepas menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit — satu kesilapan yang dianggap sebagai pencabulan kepada simbol kedaulatan negara. Ilustrasi yang muncul di muka depan sempena lawatan Presiden China Xi Jinping itu memperlihatkan kapal layar mengibarkan bendera Malaysia dan China, namun Jalur Gemilang yang dipaparkan tidak lengkap — tiada bulan sabit, simbol rasmi Islam sebagai agama Persekutuan.

Sin Chew segera memohon maaf dan menyifatkan insiden itu sebagai “kesilapan teknikal.” Mereka juga membetulkan imej tersebut dalam versi digital dan mencetak semula ilustrasi yang telah diperbetulkan dalam edisi hari ini. Namun bagi bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, permohonan maaf itu langsung tidak memadai.

Dalam kenyataan pedas di Facebook, Maszlee menyelar tindakan Sin Chew sebagai tidak bertanggungjawab dan memperlekehkan simbol negara. Katanya, ini bukan kesilapan kecil yang boleh disapu bawah karpet dengan hanya menyusun jari sepuluh. Sebuah akhbar yang telah wujud hampir satu abad, dengan ratusan ribu pembaca dan barisan editor berpengalaman, tidak sepatutnya melakukan kesalahan sebegini terhadap bendera negara sendiri.

Maszlee menegaskan bahawa seseorang mesti bertanggungjawab. Sama ada letak jawatan atau dihadapkan ke muka pengadilan. Jika tidak, maruah negara akan terus diinjak tanpa rasa bersalah. Menurutnya, tindakan Sin Chew tidak boleh dipandang remeh. Ini bukan soal reka bentuk grafik, ini soal identiti nasional.

Sin Chew mungkin sudah menyesal, tetapi rakyat menuntut lebih dari sekadar kata-kata maaf. Kesilapan sebegini membuka persoalan: adakah ia kecuaian, atau ada unsur lain yang lebih dalam? Apa pun alasannya, Maszlee mahu satu perkara — tindakan tegas, bukan sekadar minta maaf dan jalan terus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *