Menteri Besar Kelantan, Nassuruddin Daud dihentam hebat selepas mendakwa tanah adat Orang Asli tidak wujud di Kelantan dan Semenanjung Malaysia.
Kenyataan beliau disifatkan “jahil, tidak bertanggungjawab dan mengelirukan” oleh Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), yang menuduhnya cuba menutup kebenaran hak masyarakat Orang Asli.
“Ini bukan sekadar salah, ini penghinaan terhadap mahkamah,” tegas Pengerusi JKOAK, Mustafa Along, merujuk kepada keputusan-keputusan mahkamah sebelum ini yang mengiktiraf hak tanah Orang Asli, termasuk di Kelantan melalui kes Pos Belatim dan Pos Balar.
Mustafa menuduh kerajaan negeri dan persekutuan sengaja memekakkan telinga terhadap hak Orang Asli, menyebabkan penindasan berterusan tanpa jalan penyelesaian.
JKOAK menuntut pindaan segera terhadap undang-undang supaya istilah “tanah adat” dimasukkan secara rasmi, selain mendesak kerajaan menghormati prinsip keizinan bebas dan telus.
Sebelum ini, Nassuruddin dalam sidang DUN Kelantan mendakwa tanah adat hanya wujud di Sabah dan Sarawak, bukan di Semenanjung – satu kenyataan yang kini memakan dirinya sendiri.
Sumber: Mkini