Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad secara terbuka mengaku kerajaan negeri tidak mahu dan tidak mampu menyelamatkan Perak FC daripada tenggelam dalam lumpur hutang.
Dengan nada lepas tangan, Saarani berkata kos untuk menghidupkan pasukan bola sepak negeri itu “terlampau mahal” dan kerajaan negeri “tak mampu nak tanggung”.
“Bukan Perak saja,” katanya, “negeri lain pun tak mampu” — satu alasan yang bagi ramai penyokong terdengar seperti alasan malas dan pengecut.
Lebih mengejutkan, Saarani juga mengumumkan kerajaan negeri tidak akan campur tangan dalam tunggakan gaji pemain — menyerahkan semuanya bulat-bulat kepada penaja, seolah-olah nasib pemain bukan lagi urusan mereka.
Semalam, Pengerusi Perak FC Azim Zabidi sudah pun mengesahkan skuad The Bos Gaurus akan menarik diri dari Liga Super, selepas RM40 juta hangus dalam tiga tahun tanpa sebarang penyelamatan bermaruah.
Ironinya, Saarani dalam masa sama berbangga kononnya pembangunan akar umbi masih diteruskan — dengan peruntukan “tak sampai RM1 juta pun” — ibarat melemparkan tulang kepada pasukan yang sudah nazak.
Kini, masa depan Perak FC gelap gelita.
Sementara peminat menangis, pemimpin negeri hanya tepuk tangan dan berlalu pergi.
Sumber: Mkini