Salah Jalur Gemilang: Sampai Bila Nak ‘Maaf’ dan Siasatan Dalaman Jadi Lesen Lepas Tangan?

Kesilapan pada Jalur Gemilang kini bukan lagi perkara terpencil—ianya sudah menjadi wabak. Lepas satu, satu lagi muncul. Mula-mula akhbar, kini pula expo bayi. Dan setiap kali insiden berlaku, responsnya sama: permohonan maaf ringkas dan janji ‘siasatan dalaman’. Mudahnya mempermainkan lambang kedaulatan negara.

Sampai bila rakyat perlu terima skrip sama berulang kali?

Apa yang lebih menyakitkan, kebisuan para pemimpin Cina—baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang. Di mana suara mereka dalam isu yang menyentuh maruah negara? Ketika Jalur Gemilang dihina secara terang-terangan, tiada satu pun yang lantang bangkit mempertahankan—seolah-olah ini bukan tanah air mereka juga.

Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong menyuarakan perkara yang ramai pendam. Beliau dengan lantang menyatakan bahawa pemimpin Cina hanya agresif bersuara jika menyentuh kepentingan ekonomi, tetapi senyap bila melibatkan soal sosial, jati diri, dan patriotisme. Ironinya, isu tanah durian haram pun mampu diratib siang malam, walau jelas salah. Tapi bila bendera negara dilacurkan? Senyap sunyi.

Apakah jati diri nasional hanya terpakai bila ia menguntungkan poket?

Jalur Gemilang bukan sekadar kain bercorak. Ia simbol kedaulatan, kemerdekaan dan penyatuan rakyat Malaysia. Bila ia disalah cetak, dihina atau dipermainkan, itu bukan ‘kesilapan kecil’. Itu penghinaan terhadap seluruh rakyat Malaysia. Dan bila penghinaan ini berulang kali datang dari syarikat atau individu yang sama spektrum, kita tidak boleh anggap ianya ‘tidak disengajakan’ lagi.

Diamnya pemimpin Cina dalam isu ini membingitkan. Dalam masa ketegangan seperti ini, merekalah yang sepatutnya ke depan, menenangkan keadaan, menunjukkan bahawa mereka juga berdiri teguh mempertahankan simbol negara. Tapi apa yang kita lihat? Hanya kebergantungan pada ‘pemimpin utama mereka’ tanpa keberanian tampil sendiri.

Sampai bila kita mahu terus bersabar?

Malaysia tidak boleh membangun hanya dari segi ekonomi, tetapi rabak dari segi sosial. Apa maknanya kemajuan jika rakyat masih gagal hormat lambang negaranya sendiri, masih gagal kuasai bahasa kebangsaan, dan masih tiada rasa jati diri?

Ini bukan lagi soal kaum. Ini soal prinsip dan kesetiaan.
Jika kesilapan seperti ini terus dimaafkan tanpa tindakan tegas, maka bersedialah—Jalur Gemilang akan terus jadi mangsa, dan maruah negara akan terus digadai dengan kata-kata “kami mohon maaf” yang kosong dan basi.

Cukup-cukuplah. Malaysia bukan mainan.

Sumber: Malaysia Gazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *