“Saya tak izinkan sesiapapun guna peruntukan kerajaan untuk ‘sakau’ kekayaan negara!”
Datuk Seri Anwar Ibrahim tak berselindung lagi. Dalam satu ucapan yang boleh digelar paling keras setakat ini, Perdana Menteri mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap budaya salah guna kuasa, ketirisan peruntukan, dan kerakusan segelintir pihak yang memperkosa kekayaan negara untuk poket sendiri.
“Sistem ini wajib dibersihkan. Kalau tidak, hasil negara yang besar pun akan hilang begitu sahaja,” katanya di Majlis Aidilfitri Madani 2025 di Kelantan. Pedas. Tepat. Penuh amaran.
Tak peduli siapa, sama ada pegawai, ahli politik, ‘abang besar’, atau kroni VIP, semua yang menyalahgunakan kuasa untuk kaut tender dan projek kerajaan, bakal berdepan tindakan.
“Nak berniaga? Silakan. Tapi kalau guna jawatan dalam kerajaan untuk jadi kaya, itu boleh lingkup negara!” katanya lantang.
Ini bukan sembang kosong. Ini bukan retorik. Ini amaran terbuka dari PM sendiri. Dan beliau tegaskan, tiada campur tangan akan dilakukan dalam kes-kes rasuah. Mahkamah, SPRM dan Peguam Negara bebas jalankan tugas.
“Dua tahun jadi PM, saya tak pernah sekalipun campur tangan dalam urusan mahkamah. Bukan kerja saya. Saya tak takut, saya takut ALLAH,” ujarnya.
Lebih pedih, beliau sindir mereka yang menganggap jawatan sebagai lesen untuk merompak kekayaan negara.
“Jadi Perdana Menteri mesti kaya? Menteri Kewangan wajib ada harta bertimbun? Enough is enough!”
Anwar turut menggesa pemegang kuasa, dari kerajaan pusat hingga negeri, untuk hentikan budaya gila kuasa dan tamak haloba. Kalau tidak, Malaysia akan terus dibelenggu kegagalan yang sama berulang-ulang.
“Kita nak Malaysia jadi kuasa hebat rantau ini. Tapi selagi ada tangan-tangan gatal yang tak tahu malu ‘sakau’ duit rakyat, mimpi sajalah!”
Ini bukan lagi tentang politik. Ini soal maruah negara. Dan Anwar jelas – perang sudah bermula. So, siapa makan cili… pandai-pandailah.