Laungan “UmDAP Mantap!” yang tular kini bukan sekadar bahan gurauan politik, tapi cerminan hakikat pedih buat Umno — parti yang dulunya dominan, kini sekadar pelengkap majlis dalam kerajaan campuran.
Walaupun Presiden Umno Zahid Hamidi menafikan kewujudan gabungan ‘UmDAP’, tindakan dan reaksi ahli akar umbi Umno di Ayer Kuning membuktikan sebaliknya — tersipu-sipu tapi tetap bersorak, seolah-olah rela dihina asalkan kekal relevan.
Slogan yang dimulakan Nga Kor Ming semasa PRK DUN Mahkota sebelum ini gagal mendapat sambutan di Johor, tapi Perak jelas jadi tempat subur bagi DAP menguji dominasi mereka dalam ‘Perpaduan’.
Di Perak, DAP bukan sekadar rakan politik — mereka menguasai. Daripada 32 kerusi DUN, 18 milik DAP dan Umno cuma ada 7. Dalam erti kata lain, Umno kini hanya menumpang teduh di bawah panji DAP.
Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad sebelum ini menyindir sidang DUN Perak sebagai “dikawal DAP”. Bukan tuduhan kosong — dengan angka sebegitu, Umno tak punya banyak pilihan kecuali tunduk.
Ironinya, ahli Umno sendiri dilihat menyambut slogan ‘UmDAP Mantap!’ — walaupun dengan ekspresi malu dan ragu-ragu. Tapi itu sudah cukup untuk memberi mesej jelas: Umno bukan lagi ketua, tapi pengikut.
Slogan tersebut mungkin dilihat remeh oleh sesetengah pihak, tapi ia melambangkan bagaimana DAP kini berjaya ‘membentuk’ naratif dan imej gabungan ini — dan Umno hanya boleh senyum paksa, sambil menelan ego.
Soalnya sekarang, berapa lama Umno sanggup jadi maskot politik dalam kerajaan yang diketuai oleh parti yang suatu masa dulu mereka perangi habis-habisan?
Sumber: Harakah