Tularnya video pendek memaparkan wanita muda menjanjikan ‘duit raya’ kepada pengundi sempena pemilihan PKR Cabang Batu telah mencetuskan kekecohan dan persoalan besar tentang integriti dalam pemilihan parti itu.
Rakaman berdurasi sekitar seminit itu menunjukkan seorang wanita menyerahkan wang tunai sambil merayu sokongan untuk pasukan “YB Praba”, dipercayai merujuk kepada Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran.
“RM100 sebelum undi, RM100 semasa undi. Kalau menang ada jackpot,” kata wanita itu dalam video yang kelihatan dirakam secara sembunyi.
Rozan Azen Mat Rasip, bekas pemimpin PKR Wilayah Persekutuan dan Cabang Batu, meluahkan kekecewaan mendalam dan menyifatkan perbuatan itu sebagai mencemarkan nama baik parti.
“Saya sebagai ahli PKR Batu sejak 2004 amat kecewa dengan peristiwa ini. Ini jelas bertentangan dengan semangat reformasi yang menolak budaya rasuah,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Rozan menuntut agar Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menjalankan siasatan segera, manakala Biro Disiplin mengambil tindakan keras terhadap pihak yang melanggar tatakelola pemilihan.
PRABAKARAN TAMPIL NAFI
Sementara itu, Prabakaran menafikan penglibatan dirinya atau mana-mana ahli pasukannya dalam pemberian wang untuk meraih undi.
“Tiada arahan dikeluarkan daripada saya kepada mana-mana anggota pasukan. Isu token pada majlis berbuka puasa juga tidak benar,” jelasnya, sambil menyatakan kesediaan memberi kerjasama kepada pihak JPP untuk siasatan lanjut.
Sumber: MalaysiaKini