Ke mana hilangnya Datin Seri Pamela Ling Yueh? Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain akhirnya buka mulut – mengesahkan pihak polis sedar dan sedang menyiasat dakwaan mengejutkan bahawa wanita itu mungkin dilarikan oleh individu berpakaian seperti polis – atau mungkin anggota polis sendiri.
Dakwaan mengejutkan itu timbul daripada keterangan pemandu e-hailing, individu terakhir yang melihat Pamela sebelum beliau dihantar ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April lalu. Selepas itu – hilang tanpa jejak.
“Kami masih siasat – sama ada dia benar-benar dilarikan oleh anggota polis, atau seseorang yang menyamar,” kata Razarudin dipetik Berita Harian.
Namun, bila ditanya lebih lanjut, Razarudin menutup pintu – menyatakan maklumat lanjut tidak boleh didedahkan kerana bimbang strategi pihak polis terbongkar. Setakat ini, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sudah digerakkan untuk membantu Kontinjen Kuala Lumpur memburu suspek – dan lebih penting, mengesan keberadaan Pamela.
“Kita sedang teliti semua petunjuk – segala fakta. Kami mahu tahu di mana dia, dan siapa dalang di sebalik kehilangan ini,” katanya tegas.
Namun, apabila ditanya sama ada kehilangan Pamela ada kaitan dengan aset, harta, atau unsur sabotaj terhadap SPRM atau PDRM, Razarudin memilih untuk tidak mengiyakan – tetapi juga tidak menolak. Sekadar memberi bayangan bahawa kemungkinan itu ada.
Yang pasti, sehingga kini, tiada sebarang tuntutan wang tebusan diterima. Tiada komunikasi. Tiada jejak.
Persoalan besar kini – adakah ini penculikan profesional? Atau satu operasi gelap untuk menjejaskan kredibiliti institusi penguatkuasaan undang-undang negara?
Rakyat menanti jawapan – dan kebenaran.
Sumber:Majoriti