Nurul Izzah atau Rafizi Menang, Anwar Tetap ‘Raja’ PKR

Pemilihan PKR kali ini mungkin heboh dengan persaingan antara dua tokoh besar iaitu Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli, namun realitinya, siapa pun menang jawatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjadi ‘raja sebenar’ dalam parti itu.

Penganalisis politik Wong Chin Huat secara sinis menyifatkan pertarungan itu sebagai sekadar bayangan, kerana kuasa sebenar kekal di tangan Anwar, yang dijangka akan terus mendominasi sebagai pemimpin ‘de facto’ walaupun melepaskan jawatan presiden dalam tempoh tiga tahun.

“Jawatan presiden mungkin akan bertukar tangan, tetapi jangan silap, pengaruh Anwar tidak akan hilang cengkaman. Beliau akan kekal berkuasa melalui peranan tidak rasmi, di luar kerangka perlembagaan parti,” katanya kepada Sinchew Daily.

Calon Perdana Menteri? Jangan Harap Dalam Masa Terdekat

Dalam perkembangan yang lebih membimbangkan, Chin Huat menegaskan bahawa persoalan siapa bakal menjadi calon Perdana Menteri daripada PKR masih samar dan tidak akan terjawab dalam masa terdekat , ia boleh juga dianggap sebagai satu petanda bahawa parti reformasi ini gagal menyiapkan pelapis sebenar selepas Anwar.

Meskipun nama Nurul Izzah disebut-sebut sebagai pewaris semula jadi, Chin Huat menekankan bahawa kedudukannya tidak dijamin. Kemenangan atau kekalahan dalam pemilihan kali ini hanyalah permulaan, sebaliknya prestasi tiga tahun akan datang adalah penentu sebenar.

“Menang belum tentu hebat, kalah belum tentu tamat. Jika Nurul Izzah tidak menunjukkan prestasi luar biasa, peluangnya untuk mengetuai PKR akan terhapus begitu sahaja,” katanya.

Tanpa Prestasi, Sokongan DAP & UMNO Tak Akan Datang

Chin Huat turut mengingatkan bahawa kekuatan Nurul Izzah bukan sekadar dalam PKR, tetapi sejauh mana beliau mampu menarik undi dan memenangi kepercayaan parti sekutu seperti DAP dan UMNO.

“Anwar mungkin tolong buka laluan, tapi kalau Nurul Izzah gagal buktikan kemampuannya di lapangan, sama ada dalam parlimen atau kempen pilihan raya, maka jangan harap nak duduk di kerusi presiden, apatah lagi jadi calon Perdana Menteri,” tegasnya.

PKR Kini di Persimpangan – Retorik Atau Reformasi Sebenar?

Hakikatnya, pemilihan PKR kali ini mendedahkan satu krisis lebih besar,  iaitu ketiadaan perancangan kepimpinan jangka panjang dan kebergantungan mutlak kepada figur Anwar Ibrahim. Dengan ‘bayang Anwar’ terus menghantui pucuk pimpinan, masa depan PKR dan potensi untuk menjadi peneraju kerajaan kekal tidak menentu.

Sumber: MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *