Rafizi Sindir Nurul Izzah: Kalau Nak Timbalan, Sedia Jadi ‘Kaki Pukul’ Lawan Walaun!

Rafizi Ramli memberi amaran keras kepada pencabarnya, Nurul Izzah Anwar, jika benar mahu jawatan Timbalan Presiden PKR, beliau mesti bersedia menjadi “panglima perang”, “kaki pukul”, dan bertarung habis-habisan melawan pembangkang, termasuk penyokong fanatik PAS yang digelarnya “walaun”.

Dalam satu kenyataan penuh sindiran pedas menerusi podcast Yang Bakar Menteri, Rafizi tanpa berselindung menyatakan bahawa Nurul Izzah tidak boleh sekadar bersandar pada nama keluarga, sebaliknya mesti sanggup memikul beban politik yang berat, termasuk menyerang isu besar seperti skandal kapal tempur LCS, berunding dengan BN, dan berperang di gelanggang politik.

“Kalau Nurul Izzah jadi timbalan, dia kena ambil alih tanggungjawab saya. Kena jadi ‘kaki pukul’ nombor satu lawan walaun, kena kerja siang malam, bukan sekadar bawa nama Anwar,” katanya sinis.

Nepotisme Tetap Jadi Bayang-Bayang

Dalam nada sinikal, Rafizi turut menegaskan bahawa penyertaan Nurul Izzah dalam perebutan jawatan nombor dua parti pasti menghidupkan semula isu lama, iaitu nepotisme.

“PKR takkan boleh lari daripada persepsi rakyat luar. Bila Nurul Izzah masuk gelanggang, rakyat akan cakap ‘ini anak Anwar, nak bagi jawatan dalam parti pula’,” katanya lagi.

Walaupun Nurul Izzah sebelum ini menolak tuduhan nepotisme dan menegaskan bahawa ia bukan isu baru, Rafizi secara terbuka menyatakan kebimbangan terhadap imej parti di mata rakyat.

“Saya tak mahu panjangkan isu ini, tapi Nurul Izzah kena sedia berhujah dengan rakyat. Ini bukan soal nak tanding saja, tapi ini soal persepsi rakyat yang boleh runtuhkan keyakinan terhadap PKR,” tegasnya.

Sokongan Cabang Kepada Nurul Tak Menakutkan Rafizi

Pemilihan Timbalan Presiden PKR menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara Rafizi dan Nurul Izzah, namun beberapa ketua cabang dari negeri seperti Terengganu, Melaka dan Kelantan dilaporkan telah menyatakan sokongan kepada anak kepada Presiden PKR itu.

Namun, Rafizi kelihatan tenang, malah lebih sibuk menekankan bahawa jawatan ini bukan tentang “populariti”, sebaliknya tentang siapa yang sanggup turun gelanggang dan bertempur politik habis-habisan.

Jawatan Timbalan Bukan Hadiah Tetapi Medan Perang

“Jawatan ni bukan trofi, bukan ganjaran. Siapa yang menang, kena kerja macam hamba. Kalau tak ada taktik yang betul, semangat kawasan pun tak akan hidup,” katanya dengan nada tegas.

Dengan kenyataan penuh sindiran dan cabaran ini, Rafizi jelas menghantar mesej kepada Nurul Izzah, jika mahu duduk di kerusi nombor dua PKR, jangan harap ada laluan mudah hanya kerana nama ‘Anwar’ di belakang.

Sumber:MalaysiaKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *