Janna Nick akui pakaian tak sesuai

“SAYA mengakui kesilapan dilakukan dan akan mengenakan pakaian lebih sopan sesuai dengan program dijayakan selepas ini,” kata pelakon popular Janna Nick.

Dia berkata demikian ketika mengulas penampilannya yang didakwa tidak sesuai dan ketat sehingga mendapat kecaman warganet dalam program motivasi, baru-baru ini.

Menurut pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner, 24, dia lebih suka melihat kritikan itu dari sudut positif.

“Saya tidak menyalahkan warganet yang menegur penampilan saya dalam program itu.

“Saya juga tidak akan mengulangi kesilapan sama dan akan mengenakan pakaian lebih sopan serta sesuai untuk program motivasi pada masa depan,” katanya.

Janna ditemui pada sidang media Teater Malayu – Pawana Isabella arahan Erma Fatima di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Ditanya sama ada dia serik untuk menjayakan program motivasi selepas ini, Janna menafikannya.

“Saya tidak pernah serik untuk berkongsi ilmu dengan orang ramai.

“Saya buat program motivasi ini dengan hati yang ikhlas dan teguran itu juga untuk memperbaiki kelemahan sedia ada,” katanya.

Terdahulu, Janna memuat naik videonya ketika menjayakan program motivasi ‘Success At Young Age’ di laman Instagram miliknya.

Namun, perkongsian videonya itu turut mendapat kecaman warganet kerana penampilan pakaiannya yang didakwa tidak sesuai.

-myMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *