Spekulasi keadaan kesihatan bintang legenda Bollywood, Sanjay Dutt, 61 terjawab apabila beliau mengesahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat.
Menerusi perkongsian dalam Instagram, Sanjay memberitahu, beliau akan berehat daripada bidang seni untuk beberapa tempoh bagi menjalani rawatan susulan.
“Hai kawan-kawan, saya akan berehat seketika daripada kerja seni untuk mendapatkan rawatan. Keluarga dan rakan terdekat sentiasa bersama saya.
“Saya juga berharap anda tak risau atau mempercayai sebarang spekulasi. Dengan doa dan kasih sayang anda, saya pasti akan kembali,” tulisnya.
Perkongsian itu merekodkan lebih 405 ribu tanda suka dan hampir 17,000 komen.
Difahamkan, aktor dikenali dengan watak antagonis yang membintangi 187 filem itu akan menjalani rawatan di Amerika Syarikat pada waktu yang terdekat.
Terdahulu, status yang dimuat naik di laman Twitter, Selasa lalu memaklumkan berada di bawah pengawasan perubatan menimbulkan tanda tanya peminat mengenai keadaan kesihatannya.

ETimes melaporkan, Sanjay termengah-mengah dan minta nasihat perubatan. Beliau ingin tahu apakah dijangkiti wabak COVID-19 kerana tahap oksigen menurun pada 8 Ogos lalu.
Sanjay kemudian dinasihatkan ke Rumah Sakit Lilavati, Mumbai untuk menjalani pemeriksaan COVID-19. Bagaimanapun, keputusan ujian COVID-19 negatif.
Sumber memberitahu ETimes, Sanjay ditemani adiknya, Priya Dutt dan seorang rakan. Ketika tiba di hospital, kemasukan udara dikesan tidak berlaku pada paru-paru kanannya. Imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) menunjukkan terdapat pengumpulan cecair dalam paru-paru kanan.
Sanjay diberitahu berkemungkinan jangkitan bakteria tuberkulosis kesan daripada senaman berat yang mungkin mencederakan dirinya sendiri. Atau, satu lagi kemungkinan, petanda menghidap kanser.
Namun, sumber memberitahu, aktor itu menjalani imbasan PET dan mendapati bahawa cairan pada paru-paru kanan mempunyai sel kanser pada 10 Ogos lalu.
Mengikut sumber, kemoterapi adalah satu-satunya kaedah rawatan berikutan pembedahan tidak boleh dilakukan kerana kanser berada pada tahap empat.
Untuk rekod, anggota keluarga Sanjay mempunyai sejarah kanser. Ibunya, Nargiss Dutt menderita kanser pankreas pada 1981, manakala isteri pertamanya, Richa didiagnos mengidap barah otak pada 1987 dan meninggal dunia pada 1996.
– AGENSI