SPRM dan ADUN

  1. Seperti biasa di Malaysia kalau tiada angin, mana mungkin pokok bergoyang. Kalau tular di media sosial sudah tentu ada kebenarannya?
  2. Begitulah situasinya mulai Sabtu lepas sehingga sekarang isu yang dikaitkan adanya seorang ahli perniagaan yang dikatakan mempunyai 8 rakaman video mengaitkan beberapa ADUN yang “membincangkan” rasuah bernilai ratusan ribu rinngit yang diberikan pada mereka sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah Negeri.
  3. Sehingga kini butiran masih KABUR. Tidak jelas. Yang pasti ahli perniagaan itu dikhabarkan telah melantik peguam untuk memastikan beliau mendapat perlindungan sebagai “pemberi maklumat’ ( whistleblower ).
  4. SPRM harus bertindak. Tidak perlu menunggu di Pejabat sehingga laporan dibuat.
  5. Sepatutnya seperti kes-kes lain terus lakukan serbuan. Modus Operandi SPRM dalam kes-kes profil tinggi yang menghiasi dada akhbar selalunya begitu, bukan?
  6. Kes Aman Palestin. Kenyataan demi kenyataan dibuat. Pejabat diserbu, staf dipanggil hari-hari untuk diambil keterangan. Sidang Media dibuat. Semua akaun-akaun bank dibekukan. Berkotak-kotak dokumen dipunggah. Jongkong emas menjadi bualan hangat.
  7. Begitu juga dengan Fashion Valet. Persoalan timbul di media sosial. Terus disambar maklumat itu dan siasatan penuh dimulakan. Berkumpul wartawan di pintu hadapan Ibu Pejabat SPRM menunggu peluang kemunculan Velfire atau kereta-kereta mewah lain pemilik syarikat yang didakwa mungkin terlibat dalam kerugian pelaburan dana Khazanah serta PNB.
  8. Tidak lupa juga bagaimana SPRM begitu komited dalam menyiasat Tun Daim serta keluarga. Bangunan di tengah Kuala Lumpur disita. Akaun-akaun dibekukan. Berkerusi roda saspek ke Mahkamah.
  9. Anak-anak Tun Mahathir juga hampir setiap bulan akan ada pemakluman terkini status siasatan. Komitmen yang luar biasa dari SPRM.
  10. Tetapi untuk isu yang dikatakan telah ada “bukti hidup” seperti rakaman, mengapa masih menunggu?
  11. SPRM berkuasa dibawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 ( Akta 694).

12.Lihat sahaja pada Seksyen 25 Akta tersebut. Mana-mana orang yang punyai maklumat hendaklah seawal mungkin buat laporan . Kalau tiada alasan munasabah untuk tidak lapor maka ianya suatu kesalahan boleh dituduh dan jika sabit boleh didenda RM10,000.00 atau penjara hingga 2 tahun.

  1. Seksyen 26 pula menyatakan mana-mana orang yang berurusan dengan harta atau wang hasil rasuah juga boleh dituduh dan jika sabit salah boleh didenda RM50,000.00 atau penjara tidak lebih 7 tahun atau kedua-duanya.
  2. Seksyen 29 juga jelas, kalau aduan itu secara lisan, ianya boleh diturunkan secara bertulis oleh pegawai SPRM. Malah seksyen sama memperuntukkan bahawa jika pegawai SPRM syaki ada salah laku, pegawai itu sendiri boleh jalankan siasatan.
  3. Lanjutan dari itu, dibawah Seksyen 30 Akta yang sama, pegawai SPRM boleh memanggil dan memerintahkan mana-mana orang untuk dipanggil bagi siasatan. Kalau tidak dapat diselesai pemeriksaan,boleh dipanggil untuk ulang-alik bagi tujuan sama.
  4. Sekyen 31 Akta SPRM pula memberi kuasa untuk pegawai SPRM melakukan pemeriksaan, penggeledahan dan sitaan. Ini juga kuasa yang ada pada SPRM.
  5. Jangan kita lupa, SPRM juga punyai kuasa untuk minta maklumat mengenai harta dari mana-mana orang termasuk ahli keluarga. Kuasa ini tiada batas waktu. Mulai tahun 1981 pun dibenarkan. Ini ada dalam Seksyen 36 Akta SPRM.
  6. Pihak SPRM juga mempunyai kuasa untuk memintas perhubungan. Bermakna SPRM boleh memintas , mendengar dan rekodkan apa-apa perbualan telekomunikasi / telefon jika disyaki ada unsur rasuah atau salahguna kuasa. Ini bukan novel perisik tetapi Seksyen 43 Akta SPRM.
  7. Malah, peguam juga tidak terlepas. SPRM diberi kuasa dalam Akta 694 untuk mendapatkan perintah Mahkamah mengarah peguam supaya dedahkan maklumat apa-apa transaksi atau urusan yang berhubungan harta-harta yang boleh disita.
  8. Seksyen 47 pula menyatakan ada obligasi di sisi undang-undang untuk seseorang itu memberikan maklumat.
  9. Difahamkan bahawa pemberi maklumat ingin mendapatkan perlindungan. Maka pihak SPRM mesti proaktif.
  10. Tiada guna hanya komited dalam sesetengah kes, tetapi longlai dan layu dalam kes lain.
  11. Isu rasuah ini bukan isu main-main.
  12. Bukankah kerajaan hari ini jauh lebih komited tentang isu tatakelola ketimbang kerajaan-kerajaan dulu…

Rafique Rashid
Ketua Penerangan PEJUANG
11.11.2024

https://www.facebook.com/share/p/Qp4LiEhGAZD3pXJ3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *