TINDAKAN lelaki melarikan diri selepas melihat kehadiran anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Manjung gagal apabila ditahan pasukan itu di kawasan perumahan di Jalan Lepeh, Ayer Tawar, Manjung semalam.
Dalam operasi 1.30 tengah hari itu, polis bukan saja menemui dadah malah turut membongkar kegiatan lelaki itu yang aktif memecah kedai di sekitar pekan Sitiawan.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, tindakan pantas polis mengejar suspek selepas menyedari lelaki itu cuba melarikan berjaya menahannya.
Menurutnya, pemeriksaan pada suspek menemui dadah dipercayai syabu 6.55 gram dan ‘Allen Key’ dalam seluarnya.
“Hasil soal siasat lelaki berusia 27 tahun itu mengaku sering melakukan kegiatan pecah kedai di sekitar pekan Sitiawan.
“Semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes memiliki dadah serta jenayah dan suspek didapati positif syabu,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Menurutnya, suspek direman tiga hari bermula hari ini sehingga Khamis ini mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1) akta sama, Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Muhammad Hanif berkata, pihaknya turut menahan lelaki berusia 23 tahun di Taman Seri Melor, Ayer Tawar, 3 petang, Sabtu lalu selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah.
“Suspek dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar Lumut dan polis turut menyita Nissan Sunny yang digunakan untuk kegiatan itu.
“Semakan lanjut mendapati lelaki itu ada sembilan rekod kesalahan lampau membabitkan tujuh kes pecah rumah dan dua memiliki dadah.
“Ujian awal saringan air kencing mendapati suspek positif syabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Muhammad Hanif berkata, dengan penahanan dua lelaki itu, polis yakin dapat menyelesaikan 14 kes jenayah pecah rumah dan kedai di sekitar Lumut dan pekan Sitiawan.
-myMetro