Bas ekspres terbabas, tujuh cedera

TAWAU: Tujuh penumpang cedera apabila bas ekspres dinaiki terbabas sebelum terbalik di Batu 15 Jalan Apas, dekat sini, pagi tadi.

Difahamkan, dalam kejadian jam 5.10 pagi itu, bas ekspres yang membawa 40 penumpang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Terminal Bas Bersepadu di Sri Indah di sini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.15 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi mendapati kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis bas ekspres milik syarikat Optis Jaya dipercayai terbabas di bahu jalan.

“Seramai tujuh mangsa termasuk tiga lelaki yang mengalami cedera ringan dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans, manakala penumpang lain keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, semua mangsa diberi rawatan awal oleh pihak perubatan bersama pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Operasi tamat pada jam 6.21 pagi,” katanya.

-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *