SEORANG lelaki di Armenia ditahan kerana memuat naik berita palsu di Facebook, mendakwa perdana menteri negara itu mengucapkan tahniah kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump atas kematian komander tentera Iran Qassem Soleimani.
“Pada 2 Januari, akaun Facebook ‘Diana Arutyunyan’ menyiarkan maklumat mendakwa Perdana Menteri Nikol Pashinyan mengucapkan tahniah kepada AS atas tindakan terhadap komander tentera Iran,” menurut perkhidmatan keselamatan Armenia SNB dalam satu kenyataan.
“Maklumat palsu ini kemudian dipetik oleh media Azrbaijan dan Iran, menjejaskan kepentingan keselamatan negara Armenia.”
Pashinyan menerusi Facebook semalam menafikan beliau mengucapkan tahniah kepada Trump.
Jeneral Soleimani terbunuh dalam serangan dron AS di Baghdad pada Jumaat lalu. Kematiannya meningkatkan ketegangan di Timur Tengah.
Dalam video yang dimuat naik bersama kenyataan SNB, lelaki terbabit mengaku menulis artikel tersebut. – AFP