Shahrir gesa Adun Bersatu kembali kepada Umno selesai isu KM Sabah

ISU siapa harus jadi ketua menteri Sabah akan selesai jika wakil rakyat dan pimpinan Bersatu di negeri itu kembali semula kepada Umno, kata Shahrir Samad.

Menurutnya, Umno juga secara tidak langsung akan menjadi parti dengan Adun paling ramai di Sabah, mengatasi Warisan.

“Apabila wakil-wakil Bersatu kembali kepada Umno dan Barisan Nasional, bilangan seramai 25 kerusi di Dewan sudah jelas melebihi parti Shafie Apdal sebanyak 23 kerusi itu,” kata ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, Bersatu tiada kaitan langsung dengan keperluan politik di Sabah dan diwujudkan semata-mata sebagai permainan politik elit Semenanjung.

“Haruslah pemimpin-pemimpin Bersatu Sabah menyedari dan mengaku bahawa mereka akan lebih menghasilkan perpaduan dan kestabilan politik Sabah dengan meninggalkan Bersatu dan kembali semula kepada Umno.

“Mengapa hendak menari kepada rentak pemimpin Bersatu di Semenanjung?

“Setiap perjuangan perlu kepada pengorbanan” kata Shahrir.

Umno dan Bersatu kini dalam kebuntuan untuk menentukan siapa yang harus dipilih menjadi ketua menteri Sabah, selepas berjaya menang pada pilihan raya negeri kelmarin.

Barisan Nasional (BN) yang bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atas nama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang 38 kerusi, menewaskan Warisan Plus 32 kerusi. Calon Bebas pula menang tiga kerusi

Daripada 38 kerusi itu, PN menang 17, BN (14), manakala baki tujuh kerusi dimenangi sekutu mereka, Parti Bersatu Sabah (PBS).

Kerusi yang dimenangi PN pula terdiri daripada Bersatu (11) dan Star (6).

Warisan pimpinan Mohd Shafie Apdal menang 23 kerusi, menjadikannya parti paling ramai Adun. Sekutunya dalam Warisan Plus menang sembilan kerusi.

Warisan didakwa sedang cuba memikat Adun dari parti lain terutamanya PBS untuk melompat parti dan membentuk kerajaan negeri yang baru.

Umno menegaskan mahu Bung Moktar Radin sebagai ketua menteri Sabah yang baru, manakala Bersatu mencalonkan Hajiji Mohd Noor.

Dua parti itu bekerjasama membentuk kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *