ASUNCION, Paraguay: Kapten Argentina, Lionel Messi digantung satu perlawanan dan didenda $1,500 dolar AS (RM6,179) selepas dibuang padang ketika perlawanan menentang Chile dalam penentuan tempat ketiga Copa America serta membuat tuduhan “rasuah” terhadap ketua bola sepak Amerika Selatan.
Messi dilayangkan kad merah selepas berselisih faham dengan Gary Medel sebelum membuat dakwaan kejohanan sudah diatur bagi menyebelahi tuan rumah, Brazil yang menewaskan Argentina di peringkat separuh akhir yang mencetuskan kontroversi.
Messi menuduh Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) dicemari “rasuah” dan tidak menghadiri majlis penyampaian hadiah.
CONMEBOL berkata kenyataan Messi itu “tidak boleh diterima” tetapi tidak mengenakan hukuman keras terhadap pemain terbaik dunia sebanyak lima kali itu.
Penggantungan itu dijangka akan berjalan ketika pusingan pertama kelayakan Argentina bagi Piala Dunia 2022.
Selain Messi, CONMEBOL turut mengeluarkan nama Presiden Persatuan Bolasepak Argentina, Claudio Tapia sebagai wakil rasmi badan induk itu di Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berikutan tindakannya yang turut mengkritik persatuan berkenaan. – Reuters